Roslin Hashim terkejut badminton digugur pada Sukan Komanwel 2026

Roslin Hashim terkejut badminton digugur pada Sukan Komanwel 2026


Roslin dan Raja Saidatul bertukar dokumen semasa Majlis Tandatangan Penaung Diraja RHBA di Dewan MPKS Saujana Utama di sini pada Rabu.

BEKAS pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim mengakui terkejut berikutan acara badminton digugurkan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menurut Roslin, sukan itu sememangnya menjadi taruhan kepada kontinjen negara untuk meraih pingat sejak penganjurannya pada tahun 1966.

“Sukan ini memang sinonim semasa pertandingan peringkat Komanwel dan (keputusan) ini sebenarnya mengejutkan,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Tandatangan Penaung Diraja Roslin Hashim Badminton Academy (RHBA) di Dewan MPKS Saujana Utama di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Raja Saidatul Mardiah Sultan Idris A’fifullah berkenan menandatangani perjanjian sebagai Penaung Diraja kepada RHBA.

Roslin memberitahu, selain badminton, beberapa acara sukan lain turut digugurkan yang turut memberi kesan kepada sumbangan pingat buat negara.

“Saya rasa mungkin dari segi pungutan pingat buat atlet negara berkurangan, tetapi yakin acara lain mampu menyinar,” katanya.

Pada edisi di Birmingham 2022, Malaysia memenangi dua pingat emas menerusi beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah dan acara berpasukan campuran.

Berdasarkan kenyataan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), sebanyak 10 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi tersebut berbanding 19 jenis sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham England.

Dalam pada itu, Roslin memberitahu, akademi yang ditubuhkan beliau sejak 2016 itu mempunyai beberapa perancangan masa depan.

Ujar beliau, besar harapannya untuk melihat akademi berpangkalan di Puncak Alam itu nanti melahirkan pemain yang dapat mewakili negara.

Sementara itu, Raja Saidatul ketika ditemui berkata, beliau yakin akademi itu mampu melahirkan jaguh badminton bertaraf antarabangsa.

Menurut Raja Saidatul, hatinya terbuka untuk menjadi penaung RHBA selepas melihat kesungguhan dan semangat pemain pada usia muda lagi.

“Saya yakin mereka (pemain akademi RHBA) boleh mencapai tahap lebih baik kerana mereka ini dikumpulkan sejak berusia belasan tahun lagi.

“Kita berharap mereka dapat mewakili peringkat negeri, negara dan seterusnya bertanding di luar negara,” jelas Raja Saidatul.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top