Rusuhan di Indonesia: 22 individu ditahan disahkan positif dadah

Rusuhan di Indonesia: 22 individu ditahan disahkan positif dadah


Jakarta: Seramai 22 individu yang ditahan berhubung kekecohan di Jakarta bermula 25 hingga 31 Ogos lalu disahkan positif dadah, lapor Kompas.

Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Pesuruhjaya Kanan Ade Ary Syam Indardi berkata, hasil saringan mendapati majoriti mereka positif syabu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 22 orang positif dadah dengan 14 daripadanya positif syabu, tiga ganja dan lima benzoat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam insiden kekecohan itu, polis menahan seramai 1,240 orang.

Daripada jumlah itu, 1,113 orang sudah dibebaskan, manakala bakinya masih menjalani proses undang-undang.

Selain penemuan kes dadah, polis turut menerima sembilan laporan jenayah berkaitan rusuhan terbabit dan sudah mengenal pasti 10 individu sebagai suspek.

“Sembilan orang sudah ditahan, sementara seorang lagi masih dalam buruan,” katanya.

Kekecohan itu turut menyebabkan kerosakan kemudahan awam seperti perhentian bas TransJakarta, penghadang jalan serta kenderaan rasmi polis yang dirosakkan dan dibakar.

Akibat peristiwa itu, belasan anggota polis mengalami kecederaan selepas dibaling batu dan bom petrol.

“Peserta perhimpunan tidak menyuarakan pendapat sebaliknya bertindak anarki. Malah, ada petunjuk pelajar dan kanak-kanak turut digerakkan untuk menyertainya. Ini menjadi perhatian serius kami,” kata Ade Ary.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dan meminta ibu bapa supaya lebih mengawasi anak-anak mereka supaya tidak terbabit dalam tindakan anarki, mahupun penyalahgunaan dadah.

“Aspirasi boleh disampaikan tetapi dengan cara yang betul. Jangan sampai merugikan diri sendiri mahupun orang lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top