Sahabat Qitmir lancar webdrama sulung Tuah Encik Tuah

Sahabat Qitmir lancar webdrama sulung Tuah Encik Tuah


PUTRAJAYA: Pengeluar siri drama televisyen tempatan, Sahabat Qitmir Sdn. Bhd. (SQ) mengorak langkahnya menerbitkan webdrama secara vertikal yang pertama di tanah air.

Pengarah Urusannya, Mohd. Khaidir Redza Daud berkata, siri sulung Tuah Encik Tuah buat permulaan bakal disiarkan secara eksklusif menerusi platform TikTok mulai hari ini.

“Ini merupakan penerbitan julung kali dengan setiap hari kami bakal menyiarkan tiga episod daripada keseluruhan yang dijangka mencecah 100 episod,” katanya ketika dihubungi

SQ yang ditubuhkan pada 2019 serta memiliki lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia terkenal aktif dalam pembuatan drama untuk stesen RTM dan TV Sarawak.

Syarikat tersebut ketika ini turut giat membangunkan aplikasi webdrama vertikal pertama Malaysia, SQFlix bagi menyaingi pelbagai wadah serupa dari beberapa negara Asia lain.

Mengulas lanjut, Mohd. Khaidir yang juga Pengarah stesen atas talian Putrajaya FM dan Putrajaya TV berkata, Tuah Encik Tuah mengisahkan Tuah dilakonkan oleh Izzul Faiq.

“Turut membintangi drama ini ialah dua pelakon yang baru naik mencipta nama iaitu Sofia Sabri sebagai Melur dan Mizy Razuan pula memegang watak Tengku Zahar,” jelasnya.

Apa yang menarik, drama itu menandakan permulaan ke arah platform SQFlix dengan misi untuk mengubah landskap hiburan secara digital di rantau Asia Tenggara.

Justeru tambahnya, siri tersebut dijangka memperkenalkan aplikasi baharu itu selain bagi menarik perhatian peminat drama dengan gaya naratif unik dan lakonan yang mantap.

Pelancaran Tuah Encik Tuah kata Mohd. Khaidir, juga sebahagian medan strategi promosi SQFlix untuk menjadi hab yang menerajui kandungan webdrama di ASEAN sendiri.

“Malah kami mahu platform ini mampu bersaing mengatasi DramaBox dari Singapura atau ReelShort diwujudkan firma China serta Reel Buzz yang berasal Indonesia,” ujarnya.

Sehubungan itu, drama berkenaan membuktikan komitmen SQ membawa imej hiburan yang segar dan sentiasa malar relevan kepada ‘selera’ penonton serantau.

Masyarakat katanya, boleh menyaksikan siri tersebut yang akan disediakan khas oleh syarikat berkenaan menerusi akaun rasmi wadah TikTok @sqflix bermula 12 Disember ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai webdrama itu dan aplikasi SQFlix, pengguna boleh melayari www.sqflix.com atau media sosial rasmi melalui TikTok, Instagram dan Twitter.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top