KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden Parti Progresif Rakyat (myPPP), Datuk M Loga Bala sedikit beremosi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung myPPP ke-71 di hadapan barisan pimpinan komponen Barisan Nasional (BN) dan ‘Friends of BN’ hari ini.
Kata Loga Bala, beliau sakit hati kerana kesetiaan myPPP terhadap BN dipersoal walaupun parti politik itu sentiasa tampil dengan semangat ‘setiakawan’ selama puluhan tahun.
Kata beliau, myPPP tidak pernah meninggalkan BN sebaliknya kenyataan itu telah dibuat oleh bekas Presiden parti yang sudah tiada kelayakan untuk membuat apa-apa keputusan dalam parti berkenaan.
“Saya sakit hati sangat-sangat. Ahli-ahli parti lagi sakit hati apabila kesetiaan kami dalam BN ini dipersoal pelbagai pihak termasuk komponen. Yang buat pengumuman itu ialah bekas ahli. Macam mana boleh terima?
“Individu yang dakwa sudah keluar BN ini sebenarnya sudah dipecat parti jadi bagaimana boleh guna pakai apa sahaja keputusan dan kenyataanya? Kepimpinan tertinggi telah memecat individu ini selepas perbuatan melanggar perlembagaan parti. Tindakan menyeleweng sehingga akibatkan parti ini dibatalkan pendaftaran.
“Inilah induvidu yang keluarkan kenyataan myPPP sudah keluar BN, boleh terima keputusan seperti ini? Beliau tiada lagi hak apatah lagi buat keputusan sendiri bagi parti ini.
“Kami masih lagi setia bukan sahaja hari ini sebaliknya untuk puluhan tahun kami setia dengan BN. Ikut sejarah, MyPPP ini adalah antara yang terawal sertai komponen BN. Kami amat kesal,” katanya sambil diperhatikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan invidu yang dimaksudkan oleh Loga Bala ialah Tan Sri M Kayveas yang dipecat sebelum membuat pengumuman myPPP keluar BN yang tidak dipersetujui oleh rata-rata pimpinan diketuai oleh mendiang Maglin Dennis D’Cruz.
Loga Bala menambah, myPPP adalah antara parti yang telah bertindak memecat Presiden parti kerana enggan mendengar cakap dan melanggar perlembagaan termaktub dalam parti tersebut.
Kata Loga Bala lagi, walaupun partinya sudah mendapat jaminan banyak kali bahawa kedudukan myPPP ini adalah salah satu komponen BN setelah pendaftaran parti itu dikembalikan namun sehingga kini tiada keputusan rasmi dikeluarkan oleh Dewan Tertinggi BN.
“Kita tidak mahu jadi ‘Friends of BN’ kerana selama ini sudah menjadi komponen BN dan kami adalah penyokong tegar BN sejak dulu lagi, tidak sepatutnya kami dipinggirkan seperti ini. Kami tidak pernah tinggalkan BN sejak kekalahan pada 2018. Itu hakikat,” tegasnya.
Dalam pada itu, Loga Bala juga dalam nada tegas memberi amaran kepada mana-mana ahli atau individu yang cuba sekali menjatuhkan myPPP selepas ini.
“Kita sudah berusia 71 dalam arena politik negara, janganlah cuba memandai menjatuhkan kami, tidak mungkin boleh dijatuhkan juga. Ada pihak di luar sana cuba kuburkan kita, kepada pihak-pihak itu, berjagalah.
“Tidak perlu syok sendiri, ‘go fly kites’. Kita tahu hendak jaga diri, kalau jentik sekalipun kami akan lawan kembali,” tegasnya. -MalaysiaGazette