July 27, 2024

Saman Clare: Mabel terlepas ganti rugi RM1 juta atas isu teknikal

Saman Clare: Mabel terlepas ganti rugi RM1 juta atas isu teknikal


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tuntutan saman fitnah Mabel Sheela Muttiah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berhubung artikel yang menyentuh isu kematian Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menolak saman bekas pegawai khas kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali itu atas alasan teknikal berkaitan terjemahan perenggan dalam artikel berkenaan.

Perenggan dalam artikel Sarawak Report bertajuk `Bagaimana Pejabat Peguam Negara berkomplot untuk menghalang bedah siasat kedua ke atas Kevin Morais – pendedahan eksklusif’, yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris, sepatutnya diterjemah kepada bahasa Melayu.

Ketika membacakan keputusan itu, JC Raja Ahmad Mohzanuddin berkata, terjemahan perenggan dalam artikel berkenaan tidak dimasukkan dalam pliding dan kecacatan asas itu tidak mewajarkan mahkamah membenarkan tuntutan saman tersebut.

Beliau berpendapat, jika pihak defendan tidak membangkitkan bantahan berhubung isu terjemahan, mahkamah berpendirian artikel itu secara jelas memfitnah plaintif.

“Namun kegagalan (menterjemah) itu merupakan asas yang tidak mewajarkan mahkamah membenarkan tuntutan samannya.

“Mahkamah berpuas hati plaintif tidak layak mendapat ganti rugi kerana gagal menyediakan terjemahan yang disahkan,” ujarnya dan memerintahkan Mabel membayar kos RM15,000.

JC Raja Ahmad Mohzanuddin Shah selanjutnya berpendapat, jika tidak kerana kegagalan itu, mahkamah berpendirian plaintif berhak mendapat ganti rugi am dan ganti rugi teruk sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata, artikel itu diterbitkan secara meluas yang jelas merosakkan reputasi plaintif dan kariernya sebagai pegawai kehakiman dan perundangan dan tiada apa dapat dilakukan untuk memperbaikinya.

Artikel itu mendakwa Mabel telah menghantar teks kepada ahli keluarga mendiang timbalan pendakwa raya itu dan menggesa mereka menyegerakan pembakaran mayat bagi mengelak bedah siasat kedua.

Artikel itu malah mendakwa, Mabel terlibat dalam konspirasi peringkat tertinggi untuk menipu keluarga mendiang Kevin Morais walhal mereka berhak mendapat peluang untuk bedah siasat kedua.

Mayat Kevin Morais ditemui dalam tong yang disimen selepas dia diculik dari keretanya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada September 2015.

Mabel yang juga bekas Hakim Mahkamah Sesyen menyaman editor Sarawak Report yang berpangkalan di London itu pada Julai 2019 bagi menuntut ganti rugi RM100 juta.

Mabel turut menuntut arahan mandatori untuk defendan mengeluarkan artikel daripada laman webnya manakala Clare bergantung pada pembelaan justifikasi dan keistimewaan yang layak untuk mengetepikan saman itu. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top