May 20, 2024

Permohonan tajaan Mara dibuka 7 Mei


Gerik: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membuka permohonan bagi penajaan pengajian peringkat Ijazah Sarjana (Sarjana) dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di dalam dan di luar negara pada Selasa ini (7 Mei).

Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memperuntukkan RM2 bilion kepada 2,000 pelajar berkelayakan dalam usaha memperkasakan pendidikan Bumiputera.

“Komitmen kami di Mara untuk terus menghantar pelajar-pelajar mengikuti pengajian sama ada di peringkat Sarjana atau PhD kerana kita melihat ini satu pelaburan masa depan yang baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Mara Bersama Rakyat 2024 dan Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Kecil Pengkalan Hulu di Dataran Arena di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, Mara tidak meletakkan sebarang kuota terhadap kemasukan pelajar Orang Asli ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau sekolah berasrama penuh di negara ini.

Katanya, pendekatan itu dianggap adil selain memberi peluang kepada semua pelajar berkelayakan tanpa mengira latar belakang.

“Saya mengambil pendekatan tidak ada kuota tetapi memberi keutamaan kepada mereka (pelajar Orang Asli). Kalau kita letak kuota macam kita mengehadkan peluang mereka. Secara dasarnya, kita nak pastikan lebih ramai boleh masuk MRSM termasuk Orang Asli,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top