May 21, 2024

Kesal banyak pihak ambil kesempatan fitnah pimpinan, program kerajaan – Ramanan


HULU SELANGOR – Timbalan Menteri Usahawan dan Pembangunan Koperasi, Datuk R. Ramanan kesal dengan pihak tertentu yang menggunakan politik fitnah sebagai modal berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya merosakkan masyarakat berbilang kaum di negara ini, khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

“Kita tengok banyak pihak mengambil kesempatan PRK ini untuk bercakap pasal isu kebangsaan, membuat fitnah terhadap pimpinan dan program berkaitan dengan bantuan kepada rakyat.

“Kalau kita amalkan fitnah sebagai modal kempen kita, ini akan merosakkan seluruh komuniti bukan sahaja India bahkan Cina dan Melayu turut terkesan.

“Kita nak hentikan politik fitnah, cakap pasal isu yang benar, jangan cakap pasal isu yang tak benar,” katanya kepada pemberita di Fraser Valley Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Ramanan juga mengingatkan semua pihak yang bertanding agar bercakap berkenaan isu yang mempunyai kaitan dengan pengundi Kuala Kubu Bharu.

“Kempen hari keenam setakat ini bagus, kurangkan bercakap berkaitan dengan isu-isu tidak berkenaan.

“Kita kena ambil tahu isu tempatan, isu yang dihadapi penduduk di kawasan Kuala Kubu Bharu.

“Tak perlu kita cakap isu-isu lain, fokus kepada keperluan, kesusahan dan permintaan penduduk Kuala Kubu Bharu,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top