suliati@hmetro.com.my
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi universiti pertama di negara ini menerima dua aset strategik pertahanan negara bernilai tinggi menerusi rakan industrinya, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) Sdn Bhd.
Ia sekali gus memperkukuh penyelidikan kejuruteraan aeroangkasa serta menyokong kesiapsiagaan aset pertahanan negara.
Dua aset berkenaan iaitu ‘System Integration Bench’ (SIB) dan ‘Human Machine Interface’ (HMI) kini ditempatkan secara rasmi di ‘UTHM-ATSC Integrated Engineering Centre’ (UAC).
Naib Canselor UTHM Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali berkata, aset itu juga bakal memainkan peranan penting dalam memperkasa kajian operasi serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan pesawat Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Penempatan aset berteknologi tinggi di UTHM ini bakal membuka lebih banyak peluang kerjasama penyelidikan antara pakar akademik universiti dan barisan jurutera ATSC.
“Pada masa sama, ia memberi nilai tambah yang besar kepada penuntut menerusi pembelajaran berorientasikan industri dan pendedahan teknikal secara praktikal,” katanya.
Dr Mas Fawzi berkata, penempatan aset itu adalah rentetan daripada kejayaan beberapa projek kerjasama yang dilaksanakan sebelum ini antara UTHM dan ATSC.
Terdahulu, sesi lawatan tapak serta taklimat mengenai perancangan pengoperasian aset berkenaan diadakan di UAC, 9 Julai lalu.
Sesi itu menghimpunkan pemimpin utama daripada sektor kerajaan, industri dan universiti termasuk Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan Datuk Alan Abdul Rahim dan Presiden Kumpulan ‘National Aerospace and Defence Industries’ (NADI) Datuk Edron Hayata Ahmad.
Hadir sama Pengarah NADI Brigadier Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Rahim Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif ATSC Leftenan Kolonel (B) Datuk Fadzar Suhada TUDM.
© New Straits Times Press (M) Bhd






