June 13, 2024

Kaum Cina, India faham PN bukan anti sekolah vernakular – Faysal


HULU SELANGOR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) yakin isu sekolah vernacular yang dimainkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) tidak akan menjejaskan sokongan terhadap calonnya, Khairul Azhari Saut.

Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal percaya pengundi Cina dan India sangat matang untuk memahami bahawa PN bukan anti sekolah vernakular.

Menurutnya, beberapa pemimpin PN yang mengeluarkan kenyataan berkaitan sekolah vernakular hanya sebagai respon terhadap pihak yang mempertikai kelulusan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan yang dimiliki oleh Khairul Azhari.

“Maksud saya pendirian PN terhadap sekolah vernakular adalah jelas kita tidak boleh mengharamkannya tetapi seperti yang kita debatkan di Parlimen sekolah aliran ini perlu diperkayakan dengan kurikulum nasional supaya ia memaparkan karektor pendidikan kebangsaan.

“Secara prinsip PN tak boleh menutup sekolah vernakular. Bagaimana kami boleh buat begitu, sebab kami bukan sebahagian daripada kerajaan dan kita tak pernah menjadikan ia sebagai isu besar,” jelas beliau dalam sidang media, hari ini.

Sebelum ini ada pihak mempertikaikan taraf pendidikan Khairul Azhari yang dikatakan ‘terlampau hebat’ kerana memiliki diploma dan ijazah dalam tempoh dua tahun.

Dr Ahmad Johari Mohamad yang menjalankan fungsi sebagai Pegawai Eksekutif Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengesahkan sarjana yang diperolehi Khairul Azhari adalah sah.

Berikutan dakwaan itu, beberapa pemimpin PN mencabar supaya calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao mendedahkan kelulusan beliau, yang merupakan pelajar sekolar vernakular yang cemerlang termasuk mendapat A dalam Bahasa Melayu.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal juga yakin penyertaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) serta kenyataan beberapa pemimpin India termasuk bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy boleh menarik sokongan pengundi berketurunan India untuk menyokong calon PN.

“Saya yakin penyertaan MIPP ke dalam PN akan memberi kelebihan terhadap pengundi keturunan India. Ini kerana MIPP walaupun parti baru tetapi dipimpin oleh pemimpin berpengalaman kaum India bekas MIC dan PKR.

“Saya yakin mereka boleh menambah nilai dan menolong menarik undi pengundi India kepada PN dan kita ada satu minggu lagi dan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ramasamy dan ramai lagi, kita boleh menarik sokongan kaum itu kepada PN,” katanya.

Beliau sebelum itu mempengarusikan Mesyuarat Khas Pemuda PN di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional PRK N.06 Kuala Kubu Baharu.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, bagi tempoh kempen yang berbaki seminggu lagi pihaknya akan memberi fokus terhadap isu ekonomi yang melingkari kehidupan rakyat ketika ini. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top