SAMKA cuba mainkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Pahang

SAMKA cuba mainkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Pahang


KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang menafikan tuduhan  terhadap Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang didakwa membakar serta memusnahkan struktur yang menempatkan pekerja dan peralatan pekebun haram di dalam kawasan pencerobohan haram di daerah Raub.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, dakwaan yang dikeluarkan melalui Facebook Save Musang King Alliance (SAMKA) pada 10 September lalu telah memberikan gambaran seolah-olah Kerajaan Negeri Pahang menyalahgunakan kuasa dan membuat ugutan melalui cara yang tidak berperikemanusiaan.

“Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas dan cubaan untuk memainkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.

Lantaran itu, beliau menegaskan akan memastikan siasatan menyeluruh tuduhan SAMKA itu dan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap cubaan untuk memburukkan imej kerajaan negeri.

Tegasnya lagi, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali akan mengambil tindakan di luar prinsip tersebut.

Dalam hal ini, Kerajaan Negeri sentiasa mematuhi penghakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuantan dan perintah Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya yang berkuat kuasa.

Bahkan, kerajaan negeri akan kekal menegakkan undang-undang dan bertekad melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan ditangani sebaik mungkin.

Pada masa sama, beliau berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan cubaan memfitnah tidak bertanggung jawab sebegini.

Dalam hantaran tersebut, SAMKA menuduhpenguat kuasa negeri Pahang yang bertanggungjawab mengunci ladang durian tidak berlesen di Raub sejak beberapa bulan lalu dan membakar beberapa rumah pekebun haram.

Sehubungan itu, SAMKA menuntut penjelasan daripada unit penguat kuasa kerajaan negeri dan mempersoalkan sama ada ia bertanggungjawab melakukan perbuatan salah guna kuasa yang tidak berperikemanusiaan ini, dengan tujuan untuk menakut-nakutkan pekebun.

Presiden SAMKA Wilson Chang berkata, pekebun dan pekerja menyaksikan beberapa kenderaan pacuan empat roda memasuki ladang durian tanpa lesen di Sungai Klau, Raub.

Pekerja yang berada di tempat lebih tinggi melihat kenderaan itu berhenti berhampiran rumah yang digunakan untuk menempatkan pekerja dan menyimpan alatan.

“Tidak lama selepas itu, asap tebal mula berkepul-kepul dari rumah-rumah. Beberapa pekerja bergegas ke tempat kejadian untuk mencuba dan memadamkan kebakaran, tetapi sudah terlambat, rumah telah terbakar sepenuhnya, dan semua harta benda musnah,” dakwanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top