Santuni 45,000 warga ATM, kukuhkan agenda kebajikan

Santuni 45,000 warga ATM, kukuhkan agenda kebajikan


Kuantan: Lembaga Tabung AngKatan Tentera (LTAT) hari ini, menutup tirai Program Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai TImur di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini.

Tirai jelajah ditutup selepas berjaya memperluas capaian perkhidmatan dan inisiatif LTAT kepada lebih 28,500 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan secara fizikal dan digital di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Penganjuran Edisi Pantai Timur itu melengkapkan liputan Jelajah Wira LTAT ke seluruh negara dengan mencatatkan jumlah keseluruhan seramai 45,000 warga ATM yang disantuni dari 2023 hingga 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan program berkenaan sebagai platform utama LTAT.

Komitmen berterusan LTAT menyokong agenda nasional

Memasuki tahun keempat penganjurannya, platform utama itu turut diperluas menerusi siaran langsung digital buat julung kalinya bagi membolehkan warga ATM di lokasi lain mengikuti pengisian program tanpa batasan geografi.

Pelaksanaan Jelajah Wira turut mendukung aspirasi Ekonomi MADANI, agenda kesejahteraan warga pertahanan oleh Kementerian Pertahanan serta GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan yang menggembleng peranan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam menghasilkan impak ekonomi dan sosial yang lebih meluas.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi, berkata kesejahteraan warga ATM perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kekuatan menyeluruh ekosistem pertahanan negara.

Beliau menegaskan bahawa pertahanan negara bukan sahaja dibina melalui aset, kelengkapan dan kesiapsiagaan operasi tetapi turut bergantung kepada kekuatan insan, kebajikan anggota, kesejahteraan veteran serta daya tahan institusi yang menyokong mereka.

“Melalui mandat pelaburan dan peranan LTAT dalam Syarikat Kumpulan, kami akan terus memastikan setiap pelaburan strategik dilaksanakan secara berdisiplin, berasaskan pertimbangan komersial yang kukuh dan tadbir urus yang jelas serta mampu memberi nilai kepada negara dan warga ATM,” katanya.

Memperkasa kebajikan dan kesejahteraan komuniti ATM secara berterusan

Anggota ATM melakukan aksi ujian kecergasan.

LTAT terus memperkukuh tahap literasi kewangan warga ATM menerusi Program Taklimat Pencarum dan Literasi Kewangan LTAT yang dibangunkan secara dalaman dan diperkenalkan pada Disember 2023.

Mohammad Ashraf berkata, sehingga kini, program itu mendekati hampir 70,000 anggota ATM di seluruh negara menerusi siri taklimat dan sesi libat urus di kem ATM.

Katanya, program itu memberi tumpuan kepada pemahaman mengenai simpanan persaraan, pengurusan kewangan peribadi, kawalan hutang, perlindungan sosial dan perancangan masa depan bagi membantu pencarum membuat keputusan kewangan yang teratur dan berdisiplin.

“Jelajah Wira LTAT 2026: Edisi Pantai Timur turut menyaksikan pelancaran Program Kem Santuni MADANI 2026 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM600,000.

“Inisiatif kebajikan, pembangunan komuniti dan penambahbaikan kemudahan ini dijangka akan memanfaatkan lebih 6,500 keluarga ATM di kem terbabit.

“Inisiatif itu mencerminkan pendekatan LTAT yang melihat kebajikan secara menyeluruh, bukan sahaja kepada anggota, tetapi juga keluarga dan komuniti yang membentuk ekosistem ATM,” katanya.

Beliau berkata, siri jelajah itu turut meraikan graduasi kohort kedua Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT yang berjaya meningkatkan purata pendapatan bulanan usahawan veteran ATM sebanyak 162 peratus.

Katanya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan bimbingan berstruktur, pembangunan kapasiti perniagaan, sokongan pemasaran dan pemantauan berterusan dalam membantu veteran ATM membina sumber pendapatan yang lebih kukuh dan mampan.

“Komitmen LTAT dalam melindungi kesejahteraan pencarum pada setiap fasa kehidupan turut diterjemahkan melalui penyediaan peluang kerjaya kedua kepada veteran ATM.

“Menerusi Program Perantisan Veteran MyWIRA, surat tawaran pekerjaan tetap turut diserahkan kepada veteran tentera yang berjaya menamatkan tempoh perantisan selama enam bulan bersama Royale Chulan Hotels & Resorts,” katanya.

Beliau berkata, dalam aspek pendidikan, peranti pembelajaran digital turut diserahkan kepada anak-anak anggota ATM menerusi program e-Perkasa SPM 2026, hasil kerjasama antara Yayasan LTAT dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, program itu bertujuan memperluas akses kepada sumber pembelajaran digital serta membantu pelajar membuat persediaan yang lebih berkesan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kejayaan menyeluruh siri jelajah ini mencerminkan keutuhan sinergi antara ekosistem dan rakan strategik LTAT, termasuk Boustead Holdings Berhad, Affin Bank Berhad, Boustead Plantations Berhad, BHPetrol, PERNAMA, Ketengah Holdings Berhad, Pharmaniaga Berhad, Mutiara Spaces, BHIC, Boustead Hotels & Resorts, IRAT, UAC Berhad, Power Cables Malaysia, 99 Speedmart, Dhaya Maju LTAT, Panasonic, Wasco, Coca-Cola, Yayasan LTAT dan PERHEBAT,” katanya.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Gambar kiri;Muhammad Izzuddin Mohd Hanapi dan kanan; Muhammad Syahmi Mohd Shobri

Hadir sama, Ketua Setiasaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara) serta Pengerusi Panel Pelaburan LTAT, Datuk Ir (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi.

Sementara itu, pencarum LTAT, Laskar Udara I Muhammad Syahmi Mohd Shobri, 23, menganggap caruman yang dilakukan sangat bagus, terutama sebagai simpanan pada masa depan.

“Dividen yang diterima juga meningkat setiap tahun berbanding dividen yang diberikan menerusi tabungan lain,” katanya.

Muhammad Izzuddin Mohd Hanapi, 25, yang juga Laskar Udara I pula berkata, kelebihan dan manfaat LTAT amat bernilai sebaik pencarum menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera.

“Selain simpanan, dividen juga dapat dan sudah pasti ia membantu dalam menguruskan kewangan, terutama pada masa depan,” katanya.

Bagi pemenang cabutan bertuah yang membawa pulang sebuah motosikal elektrik, Sarjan Udara TUDM Haidil Jafar, 39 tidak sangka muncul antara penerima bertuah pada jelajah berkenaan. “Terima kasih kepada LTAT di atas pe­­nganjuran Jelajah Wira LTAT dan kedatangan saya ke sini hari ini begitu bermakna. Saya bersyukur dengan manfaat yang diperolehi sebagai pencarum,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top