Kerajaan laksana tujuh strategi tarik pelaburan teknologi bertaraf dunia – Johari Ghani

Kerajaan laksana tujuh strategi tarik pelaburan teknologi bertaraf dunia – Johari Ghani


mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan tujuh pendekatan strategik bagi menarik lebih banyak syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia melabur di negara ini bagi memperkukuh kedudukan sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi di rantau ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi kementeriannya bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti, berteknologi tinggi dan berintensifkan inovasi.

Katanya, antara pendekatan utama memperkukuh ekosistem pelaburan negara ialah menerusi pelaksanaan dasar nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Selain itu, dasar sektoral seperti Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Strategi Pelaburan Hijau (GIS), Pelan Hala Tuju Kimia 2030 (CIR) dan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 (SIR2035) turut menyokong agenda pembangunan industri negara serta memberi keyakinan kepada pelabur global terhadap hala tuju pembangunan negara.

“Kerajaan juga melaksanakan misi perdagangan dan pelaburan secara bersasar menerusi lawatan kerja yang diketuai Perdana Menteri serta saya serta wakil kementerian ke pasaran strategik bagi mempromosikan Malaysia dan menarik minat syarikat antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman rasmi Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta kerajaan menyatakan usaha menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia untuk melabur di Malaysia.

Johari berkata, pendekatan itu disokong dengan sesi libat urus khusus dalam industri strategik dan aktiviti berteknologi tinggi.

Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan pendekatan Ecosystem-Based Mission (EBM) dan Strike Force bagi mengenal pasti, memudah cara serta merealisasikan peluang pelaburan berpotensi tinggi.

Selain itu, Kerangka Insentif Baharu (NIF) diperkenalkan bagi menggalakkan pelaburan bernilai tinggi yang menyumbang kepada pemindahan teknologi, penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) serta penerapan teknologi Industri 4.0.

Johari berkata, kerajaan juga terus memperkukuh ekosistem industri dan rantaian bekalan tempatan melalui pembangunan vendor, peningkatan keupayaan perusahaan tempatan dan pengintegrasian syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan global.

“Ekosistem industri yang lengkap dan berdaya saing memudahkan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia mendapatkan bekalan, komponen, perkhidmatan serta tenaga kerja mahir, dari sumber tempatan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, MITI dan MIDA memperhebat promosi media strategik bagi memperkukuh penjenamaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, stabil dan mesra pelabur, selain memperluaskan promosi pelaburan di peringkat antarabangsa menerusi rangkaian pejabat MIDA di luar negara.

“Usaha itu khusus menarik syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia yang berpotensi membawa masuk teknologi baharu, aktiviti bernilai tinggi serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global,” katanya.

Beliau berkata, selain menarik pelaburan baharu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada aspek pemudahcaraan pelaburan sepanjang perjalanan pelabur, bermula daripada fasa pra-pelaburan sehingga pelaksanaan dan pasca-pelaburan.

“Ia bagi memastikan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia mendapat sokongan yang diperlukan.

“Antara pendekatan yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk pendigitalan proses permohonan Lesen Pengilang, insentif cukai dan geran melalui Portal InvestMalaysia sebagai pusat sehenti.

“Kerajaan juga menubuhkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) di MIDA yang menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di bawah satu bumbung bagi memudah cara pelaksanaan projek pelaburan.

“Selain itu, Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK) diwujudkan bagi menyelaras pelaksanaan projek bersama agensi persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta memantau kemajuan projek secara masa nyata menerusi Sistem On-TRACK,” katanya.

Johari berkata, kerajaan akan terus memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau melalui dasar yang konsisten, ekosistem industri yang berdaya saing, pemudahcaraan pelaburan yang cekap serta pembangunan bakat dan teknologi.

“Pendekatan ini diyakini mampu menarik lebih banyak syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia untuk melabur, berkembang serta menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi strategik di rantau ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top