PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Isnin memaklumkan bahawa Paris akan membenarkan Ukraine mengeluarkan peluru berpandu jelajah, bom berpanduan tepat dan peluru berpandu pintasan pertahanan udara buatannya.
Kebenaran ini diberikan selepas Kyiv menempah jet pejuang Rafale dan sistem pertahanan udara generasi baharu buatan usahasama Perancis-Itali.
“Awal petang tadi, Presiden (Volodymyr) Zelensky dan saya telah bersetuju mengenai pelan tindakan antara kedua-dua negara bagi melaksanakan kerjasama pertahanan dua hala seperti dipersetujui secara prinsip pada November lalu,” kata Macron dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat yang dihadiri kira-kira 25 pemimpin negara di Paris.
Pengumuman Macron itu menandakan kali pertama Perancis bersetuju untuk memberikan lesen pengeluaran kepada Ukraine. Langkah tersebut bakal membolehkan Ukraine mempertingkatkan simpanan aset ketenteraannya ketika Russia sedang memperhebatkan serangan ke atas negara berkenaan.
Proses pengeluaran itu akan ditumpukan kepada bom udara ke daratan berpanduan tepat AASM, peluru berpandu pintasan pertahanan udara Aster dan SCALP. SCALP merupakan peluru berpandu jelajah jarak jauh yang turut dikeluarkan oleh Britain.
Macron turut menambah bahawa sistem radar juga akan dihantar kepada Ukraine. Beliau menjelaskan bahawa Zelensky telah menempah sistem pertahanan udara generasi baharu SAMP-T yang akan dihantar menyusuli penghantaran versi terdahulu bersama satu kelompok peluru berpandu.
Selain itu, sebanyak 16 buah jet pejuang Rafale dijadualkan untuk dihantar dengan sasaran mula beroperasi di ruang udara Ukraine menjelang 2028-2029, ujar Macron.
Dalam pada itu, Macron menyatakan bahawa sekutu Ukraine telah bersetuju untuk memulakan latihan ketenteraan di negara-negara jiran Ukraine. Langkah ini merupakan sebahagian daripada rancangan penempatan pasukan multinasional yang akan digerakkan sebaik sahaja gencatan senjata dengan Russia dicapai. – AGENSI






