July 19, 2024

Sanusi jangan jadi batu-api, usah sibuk hal Selangor – UMNO Kedah

Sanusi jangan jadi batu-api, usah sibuk hal Selangor – UMNO Kedah


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa menjalankan tugas hakiki beliau dan usah sibuk dengan isu berkaitan hukuman  Malaysian Football League (MFL) terhadap Selangor FC.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Sanusi perlu memainkan peranan  beliau sebagai menteri besar dan berusaha sehabis baik untuk selesaikan permasalahan asas rakyat negeri itu.

“Sanusi perlu sedar bahawa ada air, adalah ikan, ada negeri, adalah rakyatnya dan Negeri Kedah ini punyai rakyat yang perlukan seorang pemimpin kompeten untuk mengepalai tanah Kedah Darul Aman.

“Jangan terlalu mengejar bayang dalam mendapatkan perhatian dan menutup kelemahan kepimpinan. Fokus kepada hijau kuning sebelum merah kuning,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Sanusi menitipkan kata-kata semangat buat pasukan Selangor FC sebagai tanda solidariti.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu turut berkata, seluruh rakyat Malaysia ada di belakang mendukung pasukan Merah Kuning itu meskipun tidak bersuara.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, Sanusi masih bermain sentimen sebagai ‘political tool’ dan senjata utama beliau dalam menutup kegagalan beliau sebagai seorang Menteri Besar.

Malah jelas beliau, Sanusi sentiasa mencari ruang bermain sentimen agar beliau dilihat sebagai superhero yang sentiasa bersama rakyat sedangkan beliau tidak menjalankan tugas sebagai pemimpin sebuah negeri.

“Sejak bila Sanusi sebahagian daripada Selangor sedangkan Sanusi pernah menghina dan menderhaka kepada Sultan Selangor.

“Sanusi tidak perlu berusaha menjadi panglima perang Selangor walhal beliau pernah dimurka oleh Sultan negeri itu sendiri.

“Sudah-sudahlah menjadi batu api yang sentiasa mahu memburukkan keadaan sebaliknya fokus dalam menylesaikan masalah asas rakyat negeri Kedah seperti masalah air yang tidak pernah berhenti menderitakan rakyat Negeri Kedah.

“LRA entah bila akan siap, pelabur lari sejak 2023, bola sepak Kedah sendiri gagal di bawah beliau tetapi masih ada hati bermain sentimen dengan Negeri Selangor,” katanya lagi.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj amat murka dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC.

Sultan Selangor malah menganggap ia tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, sekali gus tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Baginda berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan. – MalaysiaGazette

Selangor FC tidak bersendirian, majoriti sokong secara senyap – Sanusi



Source link

OR

Scroll to Top