July 23, 2024

15,000 'layan jiwa'

15,000 'layan jiwa'



najiy.jefri@hmetro.com.my

LEBIH 15,000 penonton memeriahkan konsert Showcase Jiwa Kacau 2024 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih meriah, konsert terbabit turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menjadi acara pertama yang menghimpunkan seramai 15,000 penonton di lokasi terbabit.

Sijil Pengiktirafan bagi Showcase Jiwa Kacau 2024 disampaikan wakil MBOR, Siti Hajar Johor kepada Ketua Pegawai Eksekutif MND Sport & Event Sdn Bhd, Harith Daniel.

Kejayaan dan pengiktirafan diterima membuktikan komitmen MND Sport & Event Sdn Bhd yang menambah baik penganjuran siri pertamanya yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada Jun tahun lalu.

Tampil membawakan senarai band popular dalam dan luar negara, rata-rata penonton yang hadir begitu bersemangat menyaksikan setiap persembahan yang ditampilkan.

Antara band terkemuka tanah air yang membuat persembahan adalah Masdo, Insomniacks, Hujan, Bunkface termasuk kumpulan popular dari Indonesia iaitu Nidji.

Barisan band itu juga membuktikan kehadiran anak-anak muda yang begitu meminati deretan lagu hits mereka.

Tirai Showcase Jiwa Kacau 2024 yang berlangsung Sabtu lalu itu dibuka dengan persembahan daripada pempengaruh yang kini bergelar penyanyi, Luqman Podolski.

Luqman menyampaikan lima single iaitu Bahaya Kembar, MYVI, Mungkin Aku Tak Penting, Kalau Kau Rindu dan Ring Ring bagi ‘memancing’ tumpuan penonton.

Acara dihangatkan dengan persembahan Kugiran Masdo yang membawakan lagu medley La Obe dan Janji Manis, Miss Flower Learn To Twist, Inilah JalanNya, Berduka Lara, Perih Jerih, Dinda, Malam Pesta Rock N Roll serta Berchanda.

Turut beraksi, band yang dibarisi jejaka tampan iaitu Insomniacks dengan Igauan Malam, Reminisensi, Teman, Kepala Batu, Sempurna dan Pulang.

Suasana di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bertambah meriah sebaik Nidji muncul di pentas untuk mempersembahkan lagu ‘hits’ mereka seperti Lala Song, Disco Lazy Time, Arti Sahabat, Sumpah & Matiku, Wadow, Laskar Pelangi, Biarlah dan Hapus Aku.

Lebih mengujakan, sebaik nama kumpulan Hujan diumumkan, rata-rata peminat begitu teruja dan adrenalin mereka mula memuncak dengan persembahan lagu Kotak Hati, Obsesi, Ahmoi Chantek, Lonely Solder Boy, Empayarmu, Bila Aku Sudah Tiada, Pagi Yang Gelap dan Aku Skandal.

Bunkface yang bertindak sebagai kumpulan penutup acara tidak kurang hebat ketika menyampaikan lagu Hilang, Malam Ini Kita Yang Punya serta medley High School Rockers dan Silly Lily, Rentak Laguku, Panik, Situasi serta Revolusi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top