June 13, 2024

Sapura Energy raih kontrak bernilai US$1.8 bilion daripada Petrobras Brazil


KUALA LUMPUR – Sapura Offshore Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sapura Energy Bhd diberikan kontrak bernilai US$1.8 bilion (US$1=RM4.73) daripada Petroleo Brasileiro SA (Petrobras) untuk menyediakan perkhidmatan dan sewaan enam buah kapal sokongan pemasangan paip (PLSV).

Petrobras ialah syarikat khusus dalam minyak, gas asli dan tenaga milik Brazil.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sapura Energy berkata, kontrak itu adalah bagi tempoh tiga tahun, bermula pada tarikh yang berbeza mengikut setiap PLSV, dengan tempoh kontrak sehingga 2028.

“Skop kerja termasuk penyediaan kejuruteraan dasar laut, pemasangan dan perkhidmatan lain dengan menggunakan PLSV di perairan Brazil.

“PLSV itu akan menjalankan semua operasi termasuk pemasangan paip fleksibel, kabel kuasa dan umbilikal elektrik-hidraulik, baharu atau terpakai, pemunggahan, pengikat, penyambungan, pemasangan peralatan bawah laut dan ujian hidrostatik, pada kedalaman air maksimum 3,000 meter,” katanya.

Sapura Energy berkata, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan mereka bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025, dan tahun-tahun berikutnya. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top