Saran skuad Kenari main Liga Semi-Pro

Saran skuad Kenari main Liga Semi-Pro


Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Sadek

PEMERHATI bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyarankan supaya kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dibubarkan sebagai usaha menyelesaikan kemelut kewangan berpanjangan yang melanda skuad Kenari tersebut.

Malah jelas Sadek, pendekatan itu dilihat adalah lebih baik bagi membolehkan kelab dari utara tanah air tersebut beraksi dalam saingan liga separuh profesional iaitu Liga A1.

“Apa yang perlu dibuat sekarang adalah membubarkan Kedah Darul Aman FC, kemudian Kedah bermain dalam saingan Liga Semi-Pro.

“Pendekatan secara tidak langsung akan membolehkan Kedah kembali di bawah persatuan bola sepak negeri yang diterajui presiden yang juga menteri besar.

“Ini juga lebih baik dari aspek pengurusan dan kebajikan pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan. Biarlah tak papa dan tak kaya, tapi rezeki berpanjangan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Kerajaan negeri melalui Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini disaran untuk menguruskan semula skuad Kenari bagi mengembalikan era kegemilangan skuad Hijau Kuning di pentas saingan bola sepak negara

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KFA dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu bertanggungjawab serta membantu KDA FC yang sedang berdepan masalah.

Pada masa sama jelas pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam itu berkata, adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan negeri sekiranya tidak membantu skuad Hijau Kuning berkenaan.

“Semua harus faham dalam era bola sepak profesional (FC) ianya bukan tanggungjawab menteri besar sebab ia adalah hak milik entiti perniagaan dan bukan juga syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

“Sekiranya, kerajaan negeri tidak memberikan bantuan maka tidak boleh menyalahkan kerajaan negeri kerana mereka ada tanggungjawab lain yang lebih besar iaitu terhadap rakyat Kedah,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top