Sasar latih 2,000 penjaga warga emas tahun ini

Sasar latih 2,000 penjaga warga emas tahun ini


KUALA LUMPUR: Seramai 2,000 penjaga warga emas akan dilatih tahun ini bagi memperkukuh ekosistem penjagaan negara dalam menghadapi status Malaysia sebagai negara menua.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga sedang membangunkan standard penjagaan kebangsaan bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk menetapkan tanda aras minimum dalam memastikan perkhidmatan penjagaan dilaksanakan secara selamat, beretika dan bermaruah.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peranan penjaga warga emas perlu diiktiraf sebagai profesion berkemahiran dan tidak lagi dianggap sebagai tugas tidak formal semata-mata.

Beliau berkata, latihan itu akan melibatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penjaga individu terlantar serta penyedia khidmat penjagaan berasaskan komuniti.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan mereka mempunyai latihan, standard dan laluan kerjaya lebih jelas, sejajar dengan keperluan negara yang berdepan peningkatan populasi warga emas.

Nancy berkata, Malaysia sedang melalui perubahan demografi besar apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas dijangka melebihi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk menjelang 2040.

Katanya, setakat 2025, populasi warga emas melebihi 2.9 juta orang dan angka itu dijangka terus meningkat dalam dekad akan datang.

“Keutamaan paling mendesak ketika ini ialah mengubah persepsi bahawa kerja-kerja penjagaan hanyalah buruh tidak formal. Sudah tiba masanya penjaga diiktiraf sebagai satu profesion berkemahiran.

“Bagi memastikan profesion itu benar-benar diangkat, perlu ada standard kebangsaan yang menetapkan kelayakan serta laluan kerjaya yang jelas untuk golongan penjaga,” katanya selepas merasmikan seminar mengenai ekosistem penjagaan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Nancy berkata, beban penjagaan masih tertumpu kepada wanita sehingga menyebabkan sebahagian mereka sukar menyertai pasaran kerja.

Katanya, kadar penyertaan tenaga buruh wanita ketika ini hanya 56.6 peratus berbanding lebih 83 peratus bagi lelaki.

Beliau berkata, situasi sama turut berlaku di peringkat global apabila lebih 708 juta wanita tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjadi penjaga sepenuh masa.

“Malah, 63 peratus wanita yang berada di luar tenaga kerja menyatakan kerja rumah dan tanggungjawab penjagaan sebagai sebab utama mereka tidak bekerja.

“Ini bukan pilihan peribadi. Ia adalah satu bentuk kegagalan sistemik. Penjaga bukan sekadar pembantu. Mereka adalah tonggak barisan hadapan kepada kesejahteraan, maruah dan daya tahan negara,” katanya.

Nancy berkata, kerajaan sedang menjalankan libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum memuktamadkan Rang Undang-undang (RUU) Warga Emas.

Katanya, RUU tersebut sudah disediakan, namun perlu melalui proses semakan bersama kementerian berkaitan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Harapan kita adalah supaya RUU ini boleh dibawa pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top