redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Langat: Status sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat Cerebral Palsy (CP) bukan pengakhiran hidup buat Muhammad Salim Harmanain.
Buktinya, Muhammad Salim, 36, dapat menjejakkan kaki ke menara gading hingga menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kini, Muhammad Salim sudah bergelar peguam namun dia sedar kejayaan diraih selama ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan ibunya Fatimah , 60, dan bapa, Harmanain Arshad, 65, sejak kecil hingga dewasa.
Baru-baru ini, perkongsian Muhammad Salim di Threads meraih perhatian warganet selepas berkongsi perjalanan dengan Harmanain dan penghargaannya kepada insan tersayang itu sempena Hari Bapa, Ahad lalu.
Menceritakan kisahnya, Muhammad Salim yang menetap di Telok Panglima Garang berkata, dia anak tunggal dalam keluarga namun tidak terlalu rapat dengan bapanya.
“Ayah pun garang orangnya dan tak berlembut walaupun saya OKU. Ayah pun tak tunjukkan kasih sayang dengan kata-kata.
“Sebaliknya ayah tunjukkan dengan perbuatan dan sebagai anak, itu lebih membuatkan saya tersentuh, juga terkesan di hati ini.
“Banyak kalau nak cerita tapi antara yang saya ingat adalah usahanya berulang alik setiap minggu dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampus dekat Nilai, Negeri Sembilan untuk ambil saya yang ketika itu menyambung pengajian peringkat asasi,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau juga berkata, ayahnya sentiasa ada ketika diperlukan dan tidak mengira masa, yang menyebabkan dia sangat menghargai pengorbanan orang tuanya itu.
“Pernah satu masa, kerusi roda saya rosak dan hubungi ayah dalam waktu Maghrib. Selepas isyak, ayah sudah sampai dan hantar kerusi roda.
“Boleh dikatakan, ayah sanggup datang ke kampus bila-bila masa diperlukan kemudian bawa saya pulang ke rumah setiap minggu,” katanya.
Menurutnya, bapanya juga banyak membantunya sewaktu dalam tempoh latihan amali atau ‘chambering’ di sebuah firma guaman.
Katanya, antara detik paling tidak dapat dilupakan adalah apabila bapanya mengambil cuti 14 minggu untuk menghantar saya menjalankan tugas di Biro Bantuan Guaman Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Bukan setakat itu, ayah pernah juga berjalan beberapa kilometer (km) ketika Ramadan sambil menolak kerusi roda saya bagi membolehkan saya menjalani peperiksaan dan semasa latihan dalam kamar.
“Disebabkan itu, saya kongsikan kisah itu terutama di media sosial pada Hari Bapa bukan dengan niat tunjuk hebat, tapi sebagai peringatan buat diri sendiri supaya sentiasa ingat di mana saya bermula dan apa ayah pernah lakukan selama ini.
“Sebagai anak, saya tak mungkin dapat membalas jasa ayah dan emak sampai bila-bila tapi akan cuba penuh impian mereka selagi hayat dikandung badan. Kalau boleh, nak habiskan masa bersama emak dan ayah kerana semakin meningkat umur, waktu dengan orang tua lebih penting daripada yang lain,” katanya.
Menyentuh perihal kerjaya, Muhammad Salim berkata, dia tidak pernah bercita-cita menjadi peguam namun bersyukur kerana menerima tawaran menyambung pengajian dalam jurusan itu.
“Bila dapat peluang sambung belajar, saya buat sehabis baik kerana emak dengan ayah beri sokongan penuh.
“Saya pula satu-satunya anak dan harapan, jadi tak boleh hampakan mereka. Titik tertinggi saya apabila dapat tamatkan pengajian dan sarung ‘robe’ (jubah peguam).
“Cuma, cabaran terutama stigma, diskriminasi dan pandangan rendah daripada segelintir masyarakat terhadap OKU macam saya tetap ada walaupun sudah ada di kedudukan sekarang (bergelar peguam),” katanya yang sudah hampir empat tahun berkhidmat sebagai peguam di sebuah firma guaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd






