hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Temerloh: Pilu hati seorang ibu apabila dua anak gadisnya berdepan ujian hilang upaya dengan salah seorang terpaksa dipotong kaki hingga paras pinggul selepas mereka terbabit kemalangan jalan raya, lima bulan lalu.
Situasi itu ditempuhi Noriah Adjun, 41, selepas motosikal dinaiki anaknya, Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 19, dan Nik Haziera Saffiya, 17, terbabit dalam kemalangan dengan lori pada 7 Februari lalu.
Terdahulu, kisah keluarga Noriah yang menetap di Taman Seri Lebak di sini, mendapat perhatian di TikTok selepas wanita itu berkongsi kejadian menimpa dua anak perempuan yang reda untuk berdamai dengan takdir biarpun hilang upaya berjalan.
Berkongsi kisahnya, ibu kepada lima anak itu berkata, Nik Haznita Safiyya yang membonceng motosikal ditunggang Nik Haziera Safiyya parah kaki kanan, sementara adiknya mengalami darah beku di paru-paru, selain patah bahu, tulang pelvis dan pinggang serta banyak saraf yang hancur.
“Kaki kanan Angah (Nik Haznita Saffiya) terpaksa dipotong dan kini menggunakan kerusi roda, manakala keadaan Nik Haziera Safiyya juga agak serius dan kaki serta tangannya turut hampir dipotong dan kini kerap masuk hospital.
“Namun, mereka sangat kuat dan positif terutama Angah yang kehilangan kaki di usia masih muda.
“Adik pula berisiko untuk lumpuh dan kalau boleh berjalan pun, dia tidak akan sempurna seperti dulu kerana lututnya tak boleh dibengkokkan,” katanya.
Katanya, Nik Haziera Safiyya masih memerlukan rawatan susulan menyebabkannya terpaksa menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga tahun depan.
“Dugaan ini memang berat apatah lagi anak perempuan keempat saya yang berusia 13 tahun disahkan mempunyai ketumbuhan pada otak hujung tahun lalu.
“Buat masa ini ketumbuhan itu belum dipastikan sebagai kanser dan anak tidak mengalami sebarang simptom seperti sakit kepala atau terjejas penglihatan, cuma dia masih perlu melakukan ujian dan pemeriksaan,” katanya.
Menurut Noriah, mereka kini bergantung dengan pendapatan suami Nik Husmadi Ismail, 44, sebagai pesara tentera dan anak sulung lelaki berusia 21 tahun yang membuka gerai cendol.
“Dahulu suami buat kerja kampung, tetapi sekarang tak dapat kerja kerana membantu saya menguruskan Angah dan adik yang perlu memakai lampin pakai buang serta bantuan untuk menguruskan diri buat masa ini.
“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk keperluan mereka,” katanya memberitahu kedua-dua anak perempuannya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagaimanapun katanya, dia gembira apabila kedua-dua anak juga tidak pernah berasa rendah diri dengan kekurangan mereka serta mengakui kekuatan anak adalah penguat semangatnya untuk tabah menjalani dugaan itu.
“Allah ambil semula keupayaan fizikal anak, tetapi Alhamdulillah tidak ambil ‘diri’ mereka. Kedua-dua anak tetap sama dan ceria seperti sebelum ini, mereka juga tidak malu dengan kekurangan diri yang buat saya sebak,” katanya.
Sementara itu, Nik Haznita Saffiya berkata, dia sedang menjalani rehabilitasi sesi pertama dan mengakui sedang menyesuaikan diri dengan hanya mempunyai satu kaki.
“Hilang kaki memang menyukarkan saya bergerak, tetapi saya kuat kerana umi, abah dan adik-beradik serta rakan yang sentiasa beri sokongan. Saya terima takdir ini dan akan lalui semua jalan yang Allah SWT atur dengan reda.
“Saya bersyukur Allah masih pinjamkan nyawa dan saya tak rasa ada kekurangan, tiada apa yang berubah. Insya-Allah ia sampai bila-bila.
“Fokus saya sekarang mahu sembuh dan membiasakan diri menggunakan tongkat supaya dapat kembali membantu abang di gerai cendolnya,” katanya.
Mereka yang ingin membantu keluarga Noriah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 164847076628 atas nama Nik Husmadi Ismail.
© New Straits Times Press (M) Bhd