‘Saya nyaris buta sebelah mata’

‘Saya nyaris buta sebelah mata’


FILEM Pontianak Harum Sundal Malam 2 (PHSM2) arahan sutradara Datin Paduka Shuhaimi Baba dihasilkan pada 2005 susulan kejayaan filem pertama yang menjengah pawagam tahun sebelumnya.

Filem kedua dikukuhkan dengan penampilan beberapa pelakon hebat antaranya Rushdi Ramli yang menghidupkan watak Zali atau Joyo.

Persembahan lakonan Rushdi dalam filem itu meninggalkan kesan sehingga membuatkan beliau tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik sempena Festival Filem Malaysia ke-19.

Kesempatan berbual dengan Rushdi baru-baru ini memberi peluang kepada saya untuk mengorek cerita menarik di sebalik pembabitannya dalam filem berkenaan.

Antara kisah yang tidak diketahui ramai adalah mengenai kecederaan mata yang dialami Rushdi sewaktu sesi latihan yang diadakan dua minggu sebelum penggambaran PHSM2 bermula.

“Saya beberapa kali melibas tali cemeti untuk mendapatkan bunyinya ketika latihan. Tiba-tiba ekor tali cemeti itu melantun sebelum terkena sebelah mata saya.

“Petang itu saya terus dikejarkan ke hospital, doktor arahkan saya jalani pembedahan untuk mengelakkan kecederaan menjadi lebih teruk.

“Menurut doktor, bola mata saya mengalami kebocoran dan jika tidak dibedah, cecair akan keluar dari luka selain anak mata mungkin berubah kedudukan.

“Saya lega sebab sebelah mata saya dapat diselamatkan kerana cepat bertindak. Menurut doktor, jika lambat dibedah, sebelah mata saya mungkin buta,” kongsinya.

ROSYAM NOR dan Rusdi Ramli dalam satu adegan filem Bilut arahan Bade Azmi
NOTA
TERBITAN
KOSMO
28 SEPTEMBER 2006
KHAMIS
MUKA 36

Khabar angin kencang bertiup mengenai perancangan Shuhaimi untuk menghasilkan edisi ketiga filem tersebut. Namun tiada kepastian ditemukan sehingga ke titik ini.

Rushdi bagaimanapun menyatakan kesediaan sekiranya diberi peluang untuk muncul dalam filem tersebut.

“Shuhaimi hanya akan berkongsi perkara yang pasti. Buat masa ini belum ada ketetapan mengenai filem tersebut.

“Jika filem itu disambung pun, saya tak pasti sama ada saya terlibat atau tidak kerana dalam filem kedua, karakter saya mati.

“Saya tidak tahu perancangan pengarah dan penulis cerita kerana kalau ada keperluan, watak yang dimatikan, boleh diadakan semula.

“Tapi, misal kata filem itu disambung dan watak saya dihidupkan semula, saya tidak akan menolak jika ditawarkan kerana saya senang bekerja dengan pasukan produksi Shuhaimi,” katanya.

DIEJEK KERANA MAK

RUSHDI dilahirkan dan membesar di Ulu Klang, Selangor. Beliau tidak menafikan terkena tempias populariti ibunya, Norlia Ghani yang ketika itu sudah pun mencipta nama dalam dunia lakonan.

“Saya tidak merasakan yang saya berbeza dengan kanak-kanak lain hanya disebabkan ibu bapa saya orang seni.

“Tetapi tidak dinafikan saya juga terkena tempias populariti ibu yang mana ketika saya bersekolah, dia sudah terkenal dengan watak Joyah menerusi drama Opah.

“Disebabkannya saya selalu diejek di sekolah, sehinggakan saya persoalkan kenapa ibu saya ini jadi pelakon, bukan suri rumah macam mak orang lain. Tapi iyalah, masa itu saya masih budak dan belum matang.

“Tapi masa itu saya sedar betapa popularnya ibu saya sehinggakan orang lain tidak lagi memanggilnya dengan nama sebenarnya, sebaliknya nama karakter tersebut,” ceritanya.

Kuala Lumpur 6 Okt.2005. Interviev dan fotografi pelakon Norlia Ramli. Gambar: Jeffri Iran. Pemberita: Khadijah Ibrahim(Meja Hiburan).
Rusdi Ramli
NORLIA ABD GHANI
NOTA:
IMBASAN
13 OKTOBER 2005
MEGA
MUKA 6

Meskipun dilahirkan dalam keluarga seni, Rushdi pada awalnya tidak pernah merancang untuk mengikut jejak langkah orang tuanya menjadi pelakon.

Malah, pelakon yang sekarang berusia 54 tahun ini ketika zaman kanak-kanaknya tidak selesa kehidupan selebriti yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat.

“Ibu saya memang peramah, sentiasa melayan peminat yang mahu mengambil gambar dan minta tandatangan.

“Cuma semasa kecil, saya tidak selesa menjadi tumpuan apabila berada di tempat awam. Saya ini orangnya cukup menjaga privasi,” kongsinya.

PELAKON KAYU
RUSHDI menerima tawaran membintangi filem Sumpah Mahsuri arahan sutradara Datuk Jamil Sulong sebagai pelakon ekstra selepas beliau tamat persekolahan sekitar penghujung era 80-an.

Tidak berniat terjun ke bidang lakonan, pembabitan awalnya didorong oleh keinginan untuk sekadar mendapatkan wang tambahan.

“Sebenarnya, saya memang tidak mahu berlakon kerana saya tahu saya ini tak berbakat. Tapi disebabkan wang, saya cuba.

“Dalam filem Sumpah Mahsuri, saya dibayar sebanyak RM1,500 selaku pelakon ekstra yang tidak berdialog.

“Ketika itu, saya ‘kayu’ berlakon. Sampaikan pengarah terpaksa memberikan dialog saya kepada pelakon lain iaitu Din Glamor.

“Tapi masa itu seronok sebab saya berpeluang berjumpa pelakon A lister antaranya Mahmud June, Datuk Rosnani Jamil, Yusof Wahab dan ramai lagi,” kongsinya.

ROSYAM NOR dan Rusdi Ramli dalam satu adegan filem Bilut arahan Bade Azmi
NOTA
TERBITAN
KOSMO
28 SEPTEMBER 2006
KHAMIS
MUKA 36

Rushdi semakin dikenali menerusi drama televisyen antaranya Pendekar yang ditayangkan di TV1 pada 1992 dan 1993.

“Watak saya dalam drama itu asalnya ditawarkan kepada pelakon, Ebby Saiful. Entah kenapa Ebby sendiri yang bertanyakan sama ada saya berminat atau tidak untuk menggantikannya.

“Saya pula tidak bekerja waktu itu, jadi saya bersetuju untuk hadir uji bakat. Namun ditakdirkan Tuhan, saya terpilih walaupun saya masih belum mahir berlakon.

“Kebetulan pula pihak produksi terdesak untuk segera mendapatkan pelakon sebelum penggambaran bermula,” katanya.

WARIS JARI HANTU
RUSHDI segera menyebut karakter Shariman dalam filem Waris Jari Hantu apabila ditanya kepada beliau watak apakah paling meninggalkan kesan sepanjang karier lakonannya.

Aktor ini mengakui bukan mudah baginya membawa watak ‘Mak Nyah’ yang kontroversi ketika itu.

Tapi, ternyata keputusannya tepat dan kerja kerasnya dalam menghidupkan watak berkenaan dibayar dengan trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20.

“Individu pertama yang saya rujuk untuk minta pandangan sama ada okey atau tidak saya bawa watak Mak Nyah adalah anak saya yang ketika itu berusia 11 tahun.

“Sebab saya faham perasaan anak kalau mak ayah mereka yang bekerja sebagai pelakon melakonkan watak yang mungkin akan memberi kesan kepada anak-anak.

“Walaupun anak saya melarang, saya terima juga watak itu mengenangkan kalau saya menolak ibarat menidakkan peluang yang menjadi rebutan ramai pelakon ketika itu.

“Saya anggap ia satu rezeki kerana karakter tersebut belum pernah wujud dalam mana-mana filem pada waktu tersebut,” jelasnya.

Kata Rushdi, dia mengambil lebih satu bulan membuat persediaan sebelum memulakan penggambaran.

“Demi menghidupkan watak Mak Nyah, saya kena melakukan kajian dan pengamatan. Antara lokasi yang saya pergi adalah tempat-tempat di mana golongan Mak Nyah membuat persembahan.

“Boleh kata watak ini paling menyeksa saya kerana selama empat bulan penggambaran saya memakai baju dan skirt, kasut dan bersolek macam perempuan.

“Tapi saya rasa usaha itu berbaloi apabila kerja keras saya diiktiraf dengan sebuah trofi FFM,” ujarnya.





Source link

OR

Scroll to Top