“Saya Punah & Hilang Kata-Kata” – Nourul Depp Mohon Doa Buat Abang Lawan Kanser Darah

“Saya Punah & Hilang Kata-Kata” – Nourul Depp Mohon Doa Buat Abang Lawan Kanser Darah


Penyanyi, Nourul Depp menzahirkan rasa pilu yang sukar digambarkan apabila abangnya, Mohamad Rizal Ab Wahab kini sedang berdepan ujian besar selepas disahkan menghidap kanser darah.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG) miliknya, Nourul atau nama lengkapnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49 berkata dia yang selama ini dikenali sebagai seorang yang mudah meluahkan perasaan, kini seakan kehilangan kata-kata saat diuji dengan dugaan tersebut.

“Hilang kata-kata bagi seorang seperti saya yang mudah meluahkan kata-kata. Bila sampai ujian yang satu ini, saya punah dan pasrah,” katanya.

Dalam luahan penuh emosi itu, Nourul turut berkongsi betapa rapatnya hubungan mereka sekeluarga, sekali gus menjadikan ujian tersebut lebih berat untuk ditanggung.

“Abang saya yang satu ini adalah abang yang kami sayangi. Ya Allah beri kesembuhan pada Mohamad Rizal Ab Wahab yang diduga kanser darah.

“Tak tahu nak luahkan rasa ini,” katanya lagi.

Pada masa sama, pelantun lagu Kerana Terluka itu masih menyimpan harapan agar abangnya kembali pulih seperti sediakala, malah mengimpikan momen indah untuk dilalui bersama.

“Lekas cergas abang. Kita nak ke Mekah bersama dan kita nak ‘ride’ di Bali nanti,” katanya.

Mengakui dua hari yang dilalui cukup mencabar, Nourul berkata dia hanya mampu berserah dan memohon agar segala urusan dipermudahkan.

“Dua hari yang amat sukar bagi saya. Banyak cabaran. Ya Allah permudahkan urusan kami. Amin,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top