Pristina: Kosovo kini hanya 90 minit daripada mencipta sejarah terbesar dalam bola sepak mereka apabila semakin hampir layak ke Piala Dunia buat kali pertama.
Kurang satu dekad selepas diterima sebagai ahli FIFA pada 2016, negara Balkan itu kini berada di ambang kejayaan luar biasa yang sebelum ini sukar dibayangkan.
Kosovo menghidupkan impian tersebut selepas mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas Slovakia di tempat lawan dalam aksi separuh akhir playoff, sekali gus menempah pertemuan menentang Turkiye di laman sendiri.
Kemenangan itu bukan sahaja perlawanan antarabangsa ke-100 mereka, malah dianggap paling signifikan dalam sejarah skuad tersebut setakat ini.
Sebelum ini, Kosovo menempah tempat ke playoff selepas menamatkan kempen kelayakan di tempat kedua kumpulan di belakang Switzerland termasuk kemenangan penting ke atas Sweden.
Ketua jurulatih, Franco Foda, memuji semangat juang anak buahnya yang tidak pernah mengalah walaupun berdepan tekanan.
“Kami dua kali ketinggalan tetapi pemain tetap percaya dan terus berjuang. Saya sangat bangga dengan pasukan ini,” katanya.
Kebangkitan Kosovo tidak berlaku secara kebetulan. Pada awal penyertaan mereka di pentas antarabangsa, pasukan itu hanya meraih satu mata daripada 10 perlawanan kelayakan, satu permulaan yang sukar.
Namun, strategi memanfaatkan pemain diaspora dari seluruh Eropah mula membuahkan hasil. Ramai pemain kelahiran Jerman, Switzerland dan Croatia memilih untuk mewakili Kosovo, sekali gus meningkatkan kualiti skuad secara mendadak.
Antara wira kemenangan ke atas Slovakia termasuk pemain kelahiran Jerman Fisnik Asllani dan Florent Muslija, selain Kreshnik Hajrizi serta Veldin Hodza yang baru menukar negara wakilan tahun lalu.
Hasil perkembangan itu, Kosovo akhirnya berjaya menembusi kelompok 100 terbaik ranking dunia buat pertama kali pada penghujung 2024.
Kini, halangan terakhir mereka ialah Turkiye, pasukan yang memiliki kualiti individu tinggi dan pengalaman luas di pentas antarabangsa.
Namun, Kosovo mempunyai satu kelebihan besar, sokongan penyokong sendiri di Stadiumi Fadil Vokrri.
Stadium berkapasiti 14,000 itu dijangka penuh, dengan permintaan tiket dilaporkan jauh melebihi kapasiti sebenar.
“Kami mungkin boleh menjual sehingga 100,000 tiket, tetapi dalam suasana penuh emosi ini kami perlu kekal fokus. Turkiye adalah pasukan yang sangat kuat,” kata Foda lagi.
Jika berjaya, Kosovo akan melengkapkan Kumpulan D Piala Dunia, berdepan cabaran besar menentang Australia, Paraguay dan Amerika Syarikat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






