September 8, 2024

Saya seolah-olah digantung tidak bertali – ADUN Rembia

Saya seolah-olah digantung tidak bertali – ADUN Rembia


KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis memberitahu peruntukan di kawasannya telah disekat hingga menyukarkan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Bekas pemimpn UMNO itu berkata, beliau seolah-olah digantung tidak bertali walaupun pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO memohon untuk memecat keahliannya daripada parti tersebut.

“Saya sudah minta cara baik tetapi digantung (keahlian). Ibaratnya, kamu kahwin dengan saya, tetapi kamu seksa saya… gantung tidak bertali.

“Sekat peruntukan dan rampas pejabat saya. Macam mana saya nak berkhidmat?” soalnya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas diumumkan oleh
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyertai parti itu pada 10 Jun tahun lalu.

Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan pengumuman itu dibuat hari ini sebagai strategi gabungan tersebut dan menegaskan ia adalah masa yang sesuai.

Penyertaan tersebut menjadikan Pas kini mempunyai seorang wakil dalam DUN Melaka sekali gus menjadikan tiga kerusi untuk pembangkang berbanding dua sebelum ini.

Dua lagi wakil Perikatan Nasional (PN) dalam DUN Melaka ialah Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) dan Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang).

Muhamad Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi DUN Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai aktiviti parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

DUN Rembia adalah satu daripada lima kerusi dalam Parlimen Alor Gajah, Melaka.

Ketika ini Muhamad Jailani yang kini menjadi Pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN) Melaka digantung keahliannya oleh UMNO selama enam tahun.

Tindakan itu diambil susulan kontroversi kehadirannya berkempen di atas pentas PN  semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram di Johor, diadakan pada Ogos tahun lalu.

Untuk rekod Muhamad Jailani merupakan ahli UMNO sebelum menyertai PKR dan menjadi ADUN Rembia pada 2018. Bagaimanapun dia bersama tiga Adun PH lain menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari.

Tindakan tersebut menyaksikan kerajaan PH Melaka akhirnya tumbang pada Mac 2020 dan digantikan dengan BN. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top