'Saya tak peduli ketua cawangan ke, bahagian ke' – PM beri amaran henti budaya surat sokongan

'Saya tak peduli ketua cawangan ke, bahagian ke' –  PM beri amaran henti budaya surat sokongan


suzalina@bh.com.my

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan surat sokongan yang sudah lama diwarisi dalam mendapatkan pembiayaan daripada agensi Bumiputera, menjadi antara punca kegagalan syarikat golongan itu di negara ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi amaran supaya budaya pemberian surat sokongan bagi mendapatkan pembiayaan dalam menubuhkan syarikat Bumiputera dihentikan.

Mengulas lanjut katanya, agihan pembiayaan itu sebaliknya perlu hanya diberikan kepada syarikat Bumiputera yang layak sahaja, tanpa kompromi.

“Saya tidak peduli ketua cawangan ke, ketua bahagian ke, yang berbahagia ke bagi surat apa, saya tak mahu. Saya sudah bagi amaran…ada keupayaan kita bantu.

“Surat sokongan itu sudah lama cara hendak mereputkan agensi Bumiputera seperti kita warisi sejak dahulu.

“Mengapa kita bagi pinjaman? Sebab dia ada kaitan rapat dengan orang tertentu atau surat kuning, hijau dan biru. Ini masalah yang merosakkan kita. Akhirnya kita bantu, perniagaan itu lingkup kerana orang tidak komited,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika berucap pada Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), di sini.

SParK 2026 yang dilaksanakan sempena ulang tahun ke-35 PUNB, menghimpunkan rakan usahawan perbadanan itu, tokoh korporat, pemain industri bagi penganjuran persidangan, perkongsian ilmu, pameran perniagaan dan aktiviti jualan.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, berdasarkan laporan lama sebelum ini, wujudnya pihak yang mendapat pembiayaan kemudiannya menjual lesen perniagaan mereka untuk mendapatkan komisen.

“Sama juga bila kita tahu ada laporan dulu yang bagi pinjaman kemudian (digunakan) untuk pejabat yang indah, kenderaan dan isteri kedua.

“Jadi kegiatannya adalah untuk menjual lesennya dan mendapat komisen. Ia perlu dihentikan. Kita bicara Bumiputera semua nak popular tetapi tidak berani menegur ketempangan yang ada.

“Saya tahu ramai tidak senang dengan sergahan saya begini rupa, tapi ini kenyataan. Berapa puluh bilion yang lingkup dalam penyelarasan saham Bumiputera?” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top