London: Pengunjung Istana Buckingham pada musim panas ini berpeluang berdiri di belakang balkoni terkenal yang sering menjadi tempat keluarga Diraja Britain bergambar.
Untuk pertama kalinya, istana membuka Sayap Timur bangunan itu yang merangkumi Bilik Pusat di mana letaknya balkoni ikonik.
“Bilik ini adalah sebahagian daripada edisi Sayap Timur yang dibina Ratu Victoria dan Putera Albert. Bahkan Putera Albert yang mencadangkan (pembinaan) balkoni ini,” kata Nicola Turner Inman, kurator Seni Hiasan di Royal Collection Trust.
Menurutnya, balkoni itu pertama kali digunakan pada 1851 dalam upacara perarakan tentera bagi Perang Crimean, dan ia sudah lama digunakan.
Bagaimanapun pelawat tidak dibenarkan berdiri di balkoni itu, sebaliknya boleh menikmati momen menarik dari tabir langsir.
Terdapat juga lampu hiasan kaca berbentuk bunga teratai abad ke-19 yang bakal menjadi sebahagian tarikan.
“Untuk orang awam melihat candelier yang bukan hanya sekilas, sebaliknya betul-betul tergantung dalam bilik itu adalah satu prospek yang sangat menarik,” kata Turner Inman.
Pemegang tiket turut berpeluang memasuki Bilik Lukisan Kuning, menempatkan hiasan abad ke-18 seperti kertas dinding lukisan tangan China dan jam Kylin.
Walaupun lawatan ke Istana Buckingham dibuka sejak 1993, akses ke bahagian itu hanya dibenarkan selepas lima tahun pengubahsuaian yang sebahagian daripada program rizab Istana Buckingham yang sedang berjalan.
Tarikan lain yang ada termasuk hiasan dinding sutera empayar China yang dipersembahkan kepada Ratu Victoria serta karya seni pelukis British abad ke-18, Thomas Gainsborough yang dipamerkan di Koridor Utama.
Selain bilik Sayap Timur yang sering digunakan untuk majlis resepsi, mesyuarat serta detik balkoni, tiket 75 Pound (RM450) yang dikenakan turut termasuk akses ke Bilik Negeri.
Pembukaan lawatan bermula 11 Julai hingga 29 September depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd