Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita utama negara Pearly Tan menerima buah tangan istimewa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Perkara itu dikongsikan Pearly menerusi laman Instagramnya, selepas dia mengumumkan terpaksa menarik diri daripada skuad Piala Uber, susulan kecederaan belakang yang berulang.
Dia yang sepatutnya bergandingan dengan M Thinaah di Horsens, Denmark itu, digantikan dengan seorang lagi pemain beregu wanita negara Chong Jie Yu yang akan mengharungi saingan bermula 24 April hingga 3 Mei.
“Terima kasih atas tanda ingatan ini. Sangat menghargainya,” kata Pearly.
Beregu lain yang akan beraksi di Piala Uber 2026 ialah gandingan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah, manakala K Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei bakal menggalas cabaran acara perseorangan.
Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B Piala Uber bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






