Pemain Bunga Raya 7s giat menjalani latihan di Padang Majlis Sukan Negara sebagai persiapan sebelum membuka kempen SEA 7s.
SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) negara, Bunga Raya kini berlumba dengan masa dalam menyediakan pasukan mantap bagi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2025.
Pengendali skuad ragbi 7s negara, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, cabaran utama pada ketika ini adalah untuk mengekalkan tahap kecergasan dalam kalangan pemain.
“Ini kerana pemain-pemain hanya menjalani latihan singkat selama 19 hari untuk persediaan kejohanan ini. Dari aspek cabaran pasukan pula, Filipina dan Thailand merupakan pencabar utama Bunga Raya 7s.
“Namun, selain perlu menewaskan Filipina dan Thailand, kita juga berwaspada dengan ancaman pasukan tuan rumah, Singapura.
“Pasukan Singapura juga telah berlatih bersama sejak Januari 2024 lagi bagi mempersiapkan pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar.
SEA 7s dijadualkan membuka gelanggang dari 4 hingga 5 April dengan perlawanan berlangsung di Stadium Jurong Barat, manakala aksi akhir di Stadium Nasional pada 5 April.
Skuad Bunga Raya 7s sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul juara SEA 7s 2024 selepas menewaskan Singapura A 14-10 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional.
Pencapaian itu menyaksikan anak buah Nik Safuan Ismade meraih kejuaraan buat pertama kali selepas tewas kepada Taiwan tahun lalu.
Mengenai sasaran dalam SEA 7s, Nik Safuan Ismade meletakkan sasaran podium kali ini.
“Skuad Bunga Raya dalam saingan SEA 7s akan menggunakan kudrat pemain tempatan. Pemilihan pemain juga adalah berdasarkan daripada pemerhatian dalam kejohanan domestik seperti Kejohanan 7s Kebangsaan, Sukma Sarawak 2024, Kejuaraan Johor 7s.
“SEA 7s juga merupakan pentas pemanas badan dan penanda aras skuad Bunga Raya 7s untuk Kejuaraan Siri Ragbi Asia serta Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini,” katanya.