Sebelum isu GIP, ramai pahlawan palsu pada PRU14 – Puad

Sebelum isu GIP, ramai pahlawan palsu pada PRU14 – Puad


KUALA LUMPUR – Pahlawan palsu bukan hanya muncul membabitkan isu penglibatan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sebaliknya menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, ramai yang berpura-pura menjadi pahlawan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pahlawan palsu terbabit katanya, telah memperjuangkan pelbagai isu berkepentingan rakyat bagaimanapun selepas berkuasa golangan berpura-pura menjadi wira rakyat tidak lagi berani meneruskan perjuangan.

“Sebenarnya sebelum PRU ke-14 (2018), ramai berlagak pahlawan. Akan turunkan harga minyak, harga kereta, harga tol, hapus PTPTN, hapus rasuah dan tender tertutup.

“Mereka berlagak pahlawan sebelum dapat keris (kuasa). Tapi bila dapat keris, terus masuk sarung. U-turn pun tidak berani.

“Maka siapa yang berpura pura jadi pahlawan? Rupanya yang berguling-guling di jalan raya dan tidur di Dataran Merdeka adalah pahlawan palsu,” kata Puad.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu menyifatkan gelaran pahlwan palsu merupakan ungkapan politik terbaik selepas pilihan raya umum 2018.

“Mereka yang membantah penjualan saham MAHB pada GIP dianggap berpura pura jadi pahlawan. Ini ungkapan politik terbaik pasca PRU ke-14,” kata Puad dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya jangan jadikan penglibatan GIP dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB sebagai wayang politik untuk menghentam kerajaan membabitkan isu Palestin.

Anwar berkata, pada setiap masa beliau bersikap keras dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin, namun pada masa yang sama tidak mahu melemahkan ekonomi Malaysia.

Menurut Anwar, beliau bersedia menerima sebagai teguran dan kritikan, tetapi isu berkenaan penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB tidak patut menjadi tunggangan politik.

“Saya percaya sebahagian yang menentang ada hujahnya dan ikhlas. Sebahagiannya nak tunggang politik. Boleh tegur saya, boleh kritik saya tiada masalah, tetapi kalau nak guna isu ini untuk tunjuk dia lebih pahlawan, padahal siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu.

“Kapal mana yang dibenarkan masuk oleh mantan Perdana Menteri tahun 2002 dan diteruskan oleh semua kerajaan (terdahulu), semua pemimpin termasuk mantan-mantan menteri yang bising sekarang ini.

“Beritahu saya apa lagi yang saya harus boleh buat untuk Gaza. Dua hari lalu saya bercakap dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan soal Gaza. Sebelum itu dengan Perdana Menteri Pakistan dan dengan Perdana Menteri China saya masih tekankan soal Gaza.

“Janganlah guna (isu) ini kerana orang yang beri kebenaran kapal Israel berlabuh sekarang mahu jadi jaguh. Saya tidak mahu ungkit, tetapi saya harap kita bersatu dalam soal Palestin. Dalam (Pilihan Raya Kecil) Sungai Bakap okay kita berlawan, tetapi dalam soal Gaza, umat Islam Malaysia perlu bersatu. Kalau nak “score political point” ia bukan tempatnya,” kata Anwar.-MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top