Sedekah di Masjidil Haram diganda 100,000 pahala

Sedekah di Masjidil Haram diganda 100,000 pahala


MENERUSKAN hujah berkaitan infak di Masjidil Haram, Dr Mohd Sabri yang juga Penolong Pengurus Agama Andalusia Travel & Tours Senawang, Negeri Sembilan itu menjelaskan, amal kebaikan yang dilakukan di Makkah termasuk sedekah digandakan kepada 100,000 kali berdasarkan qias kepada sepotong hadis.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurutnya, walaupun hadis tersebut mengkhususkan kepada ibadah solat, namun para ulama menghuraikannya kepada amalan soleh lain termasuk sedekah juga sama pahalanya iaitu digandakan sebanyak 100,000 kali.

Menghuraikan lebih lanjut, beliau kemudiannya membacakan dua ayat al-Quran berkaitan infak dan ibadah haji serta umrah melalui ayat ke-195 dan 196 surah al-Baqarah: “Dan infakkanlah (hartamu) di jalan ALLAH dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri. Bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat baik.

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana ALLAH.”

Infak terbaik

Ketika ditanya infak yang terbaik dilakukan di Masjidil Haram, beliau menjelaskan sedekah yang terbaik adalah yang paling diperlukan dan bermanfaat buat penerimanya.

DR MOHD SABRI

“Ada ketika makanan sangat diperlukan oleh orang yang menerima sedekah. Pada waktu lain pula mungkin penerima memerlukan wang tunai.

“Ada juga yang ketika itu dia memerlukan bantuan tunjuk arah atau bantuan khidmat lain. Ia tidak terhad kepada sesuatu benda atau khidmat khusus kerana ia bergantung kepada keadaan penerima,” katanya.

Menyambung hujahnya, beliau menjelaskan, bayaran untuk sembelihan dam juga merupakan satu bentuk sedekah memandangkan daging sembelihan haiwan seperti kambing atau unta itu akan diagihkan kepada fakir miskin yang berada di Tanah Haram itu.

Pesannya, jika telah melakukan pelanggaran tertentu ketika dalam ihram, teruslah membayar dam dan sebaliknya jangan ‘mengelat’ atau tidak mahu berbuat demikian.

“Ada juga segelintir kecil jemaah yang tidak mahu membayar dam, semacam mahu mengelak daripada mengeluarkan wang apabila telah melakukan pelanggaran.

“Saya nasihatkan kepada jemaah agar terus melakukan dam kerana ia boleh membawa kesan kepada mabrurnya ibadah umrah itu,” jelasnya.

Ujarnya, dam wajib dilakukan walaupun telah kembali ke tanah air, namun pelaksanaannya wajib dilakukan di Makkah.

Sambung sedekah di tanah air

Dr Sabri turut berpesan agar semua amal ibadah yang dilakukan ketika umrah di Masjidil Haram mahupun ibadah di Madinah itu diteruskan apabila pulang ke Malaysia.

MEMBERI makan kepada orang yang memerlukan juga dianggap sedekah. Foto Canva

MEMBERI makan kepada orang yang memerlukan juga dianggap sedekah. Foto Canva

“Pakej umrah selama 12 hari termasuk di Madinah sebenarnya tidak mencukupi untuk mengubah diri kita sepenuhnya.

“Ia hanyalah sebagai platform kepada kita untuk melatih diri atau sebagai tarbiah diri ke arah menjadi lebih baik dari sebelumnya,” jelasnya.

Teruskan melakukan amal ibadah dan kebaikan yang telah kita lakukan di Tanah Suci itu di tempat masing-masing, ujarnya.

“Walaupun mungkin amal tersebut dianggap kecil bagi diri kita, ia mungkin besar di sisi Tuhan yang melihat kepada istiqamahnya kita dalam mengamalkannya.

“Amalan infak contohnya, kita boleh teruskannya selepas pulang ke kampung halaman masing-masing. Masih ramai umat Islam di sekeliling kita yang memerlukan bantuan,” jelasnya. 

Praktikal infak di Masjidil Haram

1 – Mengisi air zamzam ke dalam bekas dan mengagihkan kepada jemaah.

AMALAN sedekah seharusnya diteruskan di tempat masing-masing selepas kembali dari Tanah Suci. Foto Canva

AMALAN sedekah seharusnya diteruskan di tempat masing-masing selepas kembali dari Tanah Suci. Foto Canva

2 – Sedekah wang tunai.

3 – Sedekah makanan seperti nasi, roti, buah-buahan, kurma, kacang, gula-gula termasuk untuk iftar pada bulan Ramadan.

4 – Daging sembelihan disebabkan dam turut dikira sedekah apabila ia diagih-agihkan kepada orang miskin di Makkah.

5 – Berkhidmat dengan menolong golongan yang memerlukan bantuan.

Ringkasan AI

  • Amal kebaikan termasuk sedekah di Makkah digandakan kepada 100,000 kali berdasarkan qias kepada sepotong hadis
  • Sedekah yang terbaik di Masjidil Haram adalah yang paling diperlukan dan bermanfaat buat penerimanya
  • Bayaran untuk sembelihan dam juga merupakan satu bentuk sedekah dengan diagihkannya daging kepada fakir miskin
  • Jemaah diingatkan untuk membayar dam sebagai kewajipan walaupun telah kembali ke tanah air, pelaksanaannya wajib di Makkah
  • Amal ibadah dan kebaikan yang dilakukan di Tanah Suci disarankan untuk diteruskan apabila pulang ke Malaysia



Source link

OR

Scroll to Top