MUHARAM adalah satu daripada empat bulan yang dihormati serta memiliki kemuliaan di sisi Allah SWT. Jumlah bulan dalam setahun yang ditetapkan Allah SWT adalah 12 bulan yang diciptakan sejak langit dan bumi dicipta.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya), dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” (Surah at-Taubah, ayat 36)
Tinggalkan dan lakukan
Imam Ibnu Kathir menyatakan, orang yang melakukan kemaksiatan dan kezaliman pada bulan itu akan ‘dilipatgandakan’ dosanya oleh Allah SWT.
Ini termasuklah kezaliman kepada Allah SWT iaitu mensyirikkan-Nya. Itu adalah kezaliman paling besar.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-An’aam, ayat 82)
Selain itu, tidak melakukan kezaliman ke atas orang lain. Ia berkaitan dengan harta, kehormatan sehingga darah seseorang.
Begitu juga halnya dengan tindakan menipu orang lain, itu juga salah satu bentuk kezaliman yang perlu dijauhi.
Seterusnya, tidak sesekali melakukan kezaliman terhadap kehormatan diri seseorang seperti membuka aib, memfitnah serta memburukkannya dirinya.
Semua perbuatan itu pasti akan membawa kegelapan kepada diri pelaku pada hari kiamat kelak.
Begitu juga kita tidak boleh menzalimi diri sendiri. Tubuh badan kita misalnya, memiliki pelbagai hak untuk dipenuhi.
Ini termasuk hak untuk mendapatkan makanan, berehat daripada keletihan serta melampiaskan nafsu pada jalan yang benar.
Sebuah hadis daripada Anas bin Malik, katanya: Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW menanyakan ibadat yang dilakukan Baginda.
Setelah tiga sahabat itu mendapat jawapan daripada isteri-isteri Nabi SAW, mereka merasakan ibadat yang dilakukan terlalu sedikit jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW.
Lalu mereka berkata: “Bagaimana ibadat kita? Padahal Baginda SAW adalah seorang yang maksum iaitu tidak mempunyai dosa dan Allah SWT mengampunkan dosanya yang lalu dan akan datang?
Maka, salah seorang daripada mereka berkata: “Aku akan solat tahajud pada setiap malam.”
Seorang yang lain berkata: “Aku akan berpuasa sepanjang tahun dan tidak akan berbuka.”
Seorang lagi berkata: ”Aku akan mengasingkan diri daripada wanita dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang).”
Maka, Rasulullah SAW datang lalu bersabda yang bermaksud: “Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat takwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku berbuka (tidak berpuasa), dan aku solat dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan daripada kalangan umatku).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Banyakkan berpuasa
Pada bulan Muharam, kita disunatkan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dinyatakan dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadan adalah puasa dalam bulan Allah, iaitu bulan Muharam. Sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat sunat pada waktu malam.” (Riwayat Muslim)
Imam An-Nawawi turut menyatakan puasa paling afdal selepas puasa Ramadan adalah berpuasa pada bulan Muharam.
Antara hari yang dianjurkan berpuasa adalah pada hari ‘Asyura iaitu puasa hari ke-10 pada bulan Muharam.
Syukur bagi mereka yang mengambil peluang berpuasa pada 10 Muharam, semalam serta sehari sebelum itu yang dipanggil sebagai puasa Tasu’a. Orang mukmin digalakkan menambah puasa sunat sehari sebelum puasa ‘Asyura bagi membezakan puasa orang Yahudi.
Semoga kita memperoleh ganjaran hebat disediakan Allah SWT bagi mereka yang berpuasa ‘Asyura iaitu penghapusan dosa setahun yang lalu. Ulama menyatakan ketika ada penghapusan dosa daripada amalan soleh yang dilakukan, yang dihapuskan itu adalah dosa kecil.
Bagi dosa besar hendaklah disertakan taubat kepada Allah SWT. Pastikan diri kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang berlengah untuk melakukan amalan soleh. – HARAKAHDAILY 7/7/2024