Selangor intai import 'gred A' musim depan

Selangor intai import 'gred A' musim depan


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC sudah mula menyusun langkah awal bagi menghadapi musim depan dengan memberi bayangan bakal membawa masuk pemain import terbaik untuk memperkukuh skuad Red Giants.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan proses pencarian sudah lama berjalan menerusi jabatan pencari bakat yang beroperasi sepanjang tahun, namun fokus utama ketika ini masih terarah kepada pemain sedia ada.

Menurutnya, pihak kelab bersama pengendali Kim Pan-gon sudah mengenal pasti beberapa posisi kritikal yang perlu diperkasakan menjelang musim baharu nanti.

“Ketika ini kami fokus secara dalaman. Dari segi ‘scouting’ memang kita buat sepanjang tahun kerana kita ada ‘department’ khas untuk itu.

“Kita belum mula ‘engage’ atau berhubung lagi, tetapi kita sudah ada ‘shortlist’ pemain bagi setiap posisi. Itu memang usaha harian kami,” katanya.

Beliau menjelaskan, Selangor memiliki senarai panjang pemain import berpotensi dari pelbagai posisi, namun segala keputusan masih belum dimuktamadkan kerana keutamaan diberikan kepada penilaian pemain sedia ada.

“Buat masa ini, penilaian masih tertumpu 100 peratus kepada pemain sedia ada yang mungkin kita sambung kontrak,” katanya lagi.

Perkembangan itu memberi isyarat jelas bahawa Selangor tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan, sebaliknya memilih pendekatan lebih teliti bagi memastikan setiap pemain import yang dibawa masuk benar-benar berkualiti dan mampu memberi impak besar.

Langkah berstrategi itu juga dilihat selari dengan perancangan jangka panjang kelab untuk kekal kompetitif dalam Liga Super serta mencabar dominasi seteru utama.

Dengan perancangan rapi dan ‘radar’ pencarian yang sudah diaktifkan lebih awal, Selangor dilihat berada di landasan tepat untuk tampil lebih mantap musim depan sekali gus menghidupkan semula cabaran kejuaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top