Selangor tak rela kecewakan penyokong

Selangor tak rela kecewakan penyokong


Kinoshi (kanan) memantau sesi latihan pemain Selangor FC. Foto: FB SELANGOR FC

SELANGOR FC menyedari harapan tinggi daripada penyokong yang mahukan skuad Gergasi Merah itu mara ke final dan menjuarai Piala Cabaran musim ini.

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata, pasukan itu akan turun dengan permainan terbaik ketika menentang Penang FC dalam perlawanan separuh akhir kedua sekali gus cuba memburu tempat ke perlawanan akhir untuk tidak mengecewakan penyokong.

Kinoshi

Kinoshi

“Sebelum perlawanan, kita mesti berpegang keyakinan boleh menang, tetapi semasa perlawanan kita tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Namun, kita mesti buat yang terbaik buat para penyokong. Mereka sentiasa menyokong dan bersorak sepanjang 90 minit untuk pasukan semasa perlawanan, jadi kita perlu respon dengan keputusan positif,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Selangor FC pada Khamis.

Selangor mempunyai kelebihan satu gol selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Penang FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bandaraya baru-baru ini.

Justeru, aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ahad ini bakal menjadi penentu sama ada mereka mampu untuk mara ke perlawanan akhir.

Jika berjaya, ia bakal mencerahkan peluang Selangor menamatkan penantian memenangi piala selepas kali terakhir mereka menjadi juara Piala Malaysia pada 2015.

Dalam pada itu, Kinoshi mengakui Penang bukan lawan mudah selepas mereka hanya mampu menang tipis pada aksi pertama di laman lawan itu.

“Kami akan melakukan beberapa perubahan dan sudah tentu memperbaiki kelemahan selepas aksi pertama.

“Kami juga perlu lebih agresif dalam perlawanan dan lebih baik dalam penguasaan bola,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top