PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menegaskan kemenangan menjadi misi utama skuad Gergasi Merah apabila menentang Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, minggu lalu nyata memberikan tamparan besar buat Selangor, tambahan pula naib juara musim lalu itu dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan.
Justeru, Kinoshi mahu anak buahnya mengambil iktibar daripada kekalahan tersebut sekali gus menebus kekecewaan dengan keputusan positif malam ini.
“Kita perlu lebih bersedia, lebih rapi kerana selepas kekalahan tempoh hari, banyak perkara yang perlu ditambah baik.
“Untuk kembali menjadi pasukan Selangor yang sebenar, kita kena kembali menang. Semua pemain faham tanggungjawab masing-masing untuk memberikan persiapan terbaik lawan Terengganu,” katanya.
Pengendali dari Jepun itu mengakui, cabaran menentang skuad Penyu bukan sesuatu yang mudah memandangkan Terengganu kini berada pada prestasi terbaik selepas menewaskan DPMM FC dengan kemenangan besar 5-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Menurut Kinoshi, skuad kendalian Jamie McAllister itu juga memiliki barisan pemain import berkualiti yang mampu memberi saingan sengit.
Namun, selaku tuan rumah, Kinoshi menegaskan Selangor tidak boleh lagi kehilangan mata kerana ia boleh menyebabkan pasukan terus tercicir dalam kedudukan liga.
Selangor kini berada di tangga ketujuh selepas tiga perlawanan, dengan hanya satu kemenangan dicatat ke atas DPMM FC (3-0).
“Selepas beberapa perlawanan, setakat ini tiada kecederaan serius dalam skuad, hanya kecederaan ringan. Kami akan terus memantau tahap kecergasan pemain agar bersedia sepenuhnya,” katanya.
Jadual Liga Super 2025/26
27 Ogos (Rabu)
Selangor FC lwn Terengganu FC
(Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 8.15 malam)
Kuala Lumpur City lwn PDRM FC
(Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 8.15 malam)
28 Ogos (Khamis)
Imigresen FC lwn JDT
(Stadium Negeri Pulau Pinang, 5 petang)
29 Ogos (Jumaat)
Negeri Sembilan FC lwn Kuching City FC
(Stadium Tuanku Abdul Rahman, 9 malam)
Sabah FC lwn Melaka FC
(Stadium Likas, 8.15 malam)
30 Ogos (Sabtu)
Penang FC lwn Kelantan TRW
(Stadium Bandaraya, 9 malam)
*Tarikh, venue, masa tertakhluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia






