September 8, 2024

Selepas naik pangkat, Saiful pikat hati Fandi

Selepas naik pangkat, Saiful pikat hati Fandi


KUALA LUMPUR – Pemain tengah Sri Pahang FC, Saiful Jamaluddin mengakui perjuangannya di pentas Piala MFL musim lepas berjaya menambat hati pengendali, Fandi Ahmad untuk berada di skuad utama dalam Liga Super 2024-2025.

Saiful yang juga kapten Sri Pahang Bawah 23 tahun musim lalu telah beraksi dalam 17 perlawanan kejohanan tersebut dan aksinya yang cemerlang berjaya meletakkan pemain berusia 22 tahun itu di pentas Liga Super untuk musim ini.

Jelasnya, musim lalu telah membuka banyak peluang untuk Saiful membuktikan kemampuannya dan tidak menyangka Fandi memberi kepercayaan kepadanya untuk membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan pertama liga menentang Kelantan Darul Naim FC, Sabtu lalu.

Harapannya adalah agar lebih ramai pemain muda yang kini beraksi di pentas Piala MFL memiliki impian sama untuk cuba merebut tempat ke skuad utama dengan menampilkan prestasi terbaik di kejohanan itu.

“Tahun lepas memang rezeki saya apabila dapat banyak bermain untuk perlawanan di kejohanan Piala MFL dan jurulatih pun nampak potensi saya waktu seterusnya memanggil saya untuk sertai skuad utama.

“Memang dari dulu saya dah pasang niat untuk beraksi di Liga Super dan saya harap kawan-kawan yang lain juga terus bersemangat untuk buktikan sesuatu di Piala MFL agar dapat diserap juga.

“Tapi banyak juga yang saya kena ubah terutamanya daripada segi permainan sebab kalau di Piala MFL corak permainan berbeza dan di Liga Super lebih laju,” kata kepada Liga Bolasepak Malaysia di sini.

Menjelang aksi kedua Liga Super, Sri Pahang bakal berdepan Kuching City FC pada Ahad ini, Saiful menjangkakan pertembungan yang sengit antara dua kelab itu melihat kepada perkembangan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini lebih mantap.

Kuching City terdahulu berjaya menafikan hasrat kemenangan Kuala Lumpur City FC untuk meraih tiga mata selepas seri dalam pertembungan pertama Liga Super tempoh hari.

“Saya ada tengok juga aksi Kuching City masa lawan Kuala Lumpur City dan boleh nampak yang mereka semakin baik.

“Kita memang tidak boleh ambil mudah perlawanan ini dan perlu meneruskan momentum untuk raih tiga mata selepas ini”, jelasnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top