Semai jiwa malaysia

Semai jiwa malaysia


mohamadridzuan@hmetro.com.my

INSPIRASI filem-filem aksi Hollywood seperti Backdraft (1991) dan Only the Brave (2017), namun diberi acuan tempatan.

Itulah yang dizahirkan oleh James Lee dan Frank See menerusi filem arahannya Legasi: Bomba The Movie yang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 21 Ogos lalu.

Legasi: Bomba The Movie adalah filem berjiwa Malaysia kerana mengangkat subjek yang dekat dengan masyarakat iaitu wira negara, anggota bomba.

Filem ini adalah penghormatan khas kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang selama ini berkorban tanpa minta dipuja.

Lebih menarik, elemen Imej Janaan Komputer (CGI) dihasilkan penuh teliti sehingga filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Pelakon Legasi: Bomba The Movie pula bukan sekadar penghias filem semata-mata, tetapi mereka juga perlu menjalani latihan intensif JBPM selama sebulan yang mencabar minda dan fizikal.

Biarpun penggunaan CGI kelihatan seakan realistik, Frank See berkata, mereka sentiasa dalam situasi tidak puas hati kerana mahu filem ini mencapai piawaian tertinggi serta tahap terbaik.

“Kami berdepan dua kekangan besar iaitu bajet dan CGI. Walaupun ada pasukan yang bagus, banyak babak terpaksa dipotong hampir 20 peratus kerana kekangan bajet. Misalnya, babak di pergunungan – kami terpaksa lupakan.

“Sebenarnya tidak mudah menggunakan CGI kerana kami perlu menentukan tahap kualiti visual yang diperlukan,” katanya pada majlis tayangan filem Legasi: Bomba The Movie, di sini, baru-baru ini.

Filem berkaitan bomba sememangnya sudah acap kali dihasilkan oleh pembikin filem luar, tetapi Legasi: Bomba The Movie cuba lari daripada kebiasaan itu.

“Kami cuba tampilkan kelainan dengan elemen tempatan agar lebih sedar dan ada perbezaan. Penggunaan CGI pula perlu untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

“Diakui penggunaan api sebenar lebih memberi impak realistik. Namun, risiko terlalu tinggi jika menggunakan api sebenar, jadi kami pilih CGI.

“Ramai tanya kenapa tak guna teknologi AI, tapi hakikatnya, produksi ini bermula lebih dua tahun lalu, ketika AI belum digunakan meluas,” katanya lagi.

Mereka juga perlu memikirkan lokasi sesuai yang membenarkan penggunaan bahan letupan dan aksi lagak ngeri.

Akhirnya keputusan diambil dengan membina set model berskala besar termasuk untuk babak pergunungan dan situasi cemas dalam lif.

“Saya juga kagum apabila pelakon sanggup berlatih lapan jam setiap hari, lakukan sendiri aksi dan patuh pada arahan jurulatih bomba.

“Sepatutnya latihan tiga hari saja, tapi dilanjutkan kepada sebulan. Ini bukan sekadar bina otot, tetapi untuk memahami semangat dan jiwa wira bomba,” katanya.

Legasi: Bomba The Movie diilhamkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menampilkan pelakon terkenal antaranya Ben Amir, Nas Muammar Zar (Nas-T), Henley Hii dan turut disokong Hairie Othman, Ammar Alfian, Fad Anuar, Abbas Mahmood Sasidaran, Nia Atasha dan Mathni Razak.

Berkisar kepada anggota pasukan elit Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) iaitu Amir yang dihantui trauma silam, namun dipaksa kembali ke barisan hadapan apabila menara pencakar langit TEXVIN 118 dilanda kebakaran besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top