Pep Guardiola – Foto: AFP
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukan lawan terutama di Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah tidak gerun dengan The Citizens.
Menurutnya, pasukan lawan sudah banyak menggunakan taktik ‘man marking’ sehingga menyukarkan City untuk beraksi seperti sebelum ini.
“Dulu, semua pasukan datang ke Etihad dan bermain secara bertahan. Pasukan pertama yang saya lihat melakukan ‘man marking’ kepada City adalah Cardiff yang dikendalikan Neil Warnock (pada musim 2018-19). Sekarang semua pasukan melakukan perkara sama.
“Semua pasukan datang ke sini dan melakukan ‘man-marking’. Mereka menyasarkan Ederson atau Stefan Ortega (penjaga gol City.
“Kami harus mencari cara berbeza dan lebih bagus ketika menguasai bola. Jika tidak, kami akan kehilangan tempat ke Liga Juara-Juara,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut mengambil contoh kekalahan kepada Paris Saint Germain dalam aksi Liga Juara-Juara yang disifatkannya masalah dalam penguasaan bola.
“Kelajuan adalah penting, tetapi menentang PSG kami berlari lebih daripada mereka. Masalah kami adalah dengan bola. Itulah kekurangan kami musim ini.
“Apabila anda mempunyai bola dan anda tidak menghantarnya dengan betul kepada rakan sepasukan, semuanya menjadi sangat sukar,” katanya.
Juara bertahan EPL itu gagal mengekalkan aksi konsisten musim ini selepas berada di kedudukan kelima EPL selain turut berada di kedudukan ke-25 dalam saingan Liga Juara-Juara.