Sentuhan Salah, Foster nyalakan cabaran Mesir, Afrika Selatan

Sentuhan Salah, Foster nyalakan cabaran Mesir, Afrika Selatan


Rabat: Dua pemain Liga Perdana Inggeris, Mohamed Salah dan Lyle Foster, muncul wira perlawanan apabila Mesir dan Afrika Selatan memulakan kempen Kumpulan B Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) dengan kemenangan di Maghribi.

Bintang Liverpool yang dilanda ketidaktentuan, Salah, menjaringkan gol pada minit pertama masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 2-1 Mesir, juara tujuh kali, ke atas Zimbabwe yang beraksi penuh semangat di Agadir.

Terdahulu, dominasi separuh masa kedua Afrika Selatan membuahkan hasil apabila penyerang Burnley, Foster, meledak gol pada minit ke-79 untuk menghadiahkan kemenangan 2-1 ke atas Angola di Marrakesh.

Afcon kini bersedia untuk pertembungan puncak carta antara The Pharaohs dan Bafana Bafana di Agadir pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan sudah bertemu tiga kali dalam kejohanan Afcon sebelum ini, dengan Mesir menang dua daripadanya.

Salah, yang sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati selepas diletakkan di bangku simpanan bersama Liverpool hingga mencetuskan reaksi terhadap pengurus, Arne Slot, bekerja keras memimpin Mesir yang terganggu selepas ketinggalan.

Prince Dube meletakkan Zimbabwe di depan pada minit ke-20, memaksa Mesir, salah satu pasukan pilihan menunggu hingga minit ke-63 sebelum Omar Marmoush dari Manchester City menyamakan kedudukan.

Tekanan berterusan The Pharaohs akhirnya berbaloi pada awal daripada lima minit masa tambahan apabila ketekunan Salah memastikan tiga mata penuh.

Di Marrakesh, Afrika Selatan menguasai babak kedua menentang Angola dan Foster menyempurnakan kemenangan 2-1 pada minit ke-79 dalam kumpulan sama.

Gol kemenangan hadir selepas percubaan Tshepang Moremi dibatalkan kerana ofsaid dan rembatan Mbekezeli Mbokazi menggegarkan palang sebelum bola melantun kembali ke padang.

Oswin Appollis meletakkan Afrika Selatan, pemenang gangsa Afcon 2024, di depan pada minit ke-21, namun ketika Angola menguasai permainan, mereka menyamakan kedudukan menerusi Show pada minit ke-35.

Kemenangan itu menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa kemenangan Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan Afcon sejak 2006, selain mengesahkan dominasi ke atas Angola dengan tiga kemenangan dan dua seri daripada lima pertemuan di kejohanan berkenaan.

Jurulatih dari Belgium, Hugo Broos, yang membimbing Cameroon menjuarai Afcon 2017, mengakui beliau tidak berpuas hati dengan prestasi separuh masa pertama Bafana.

“Kami perlu elakkan kekalahan malam ini kerana selepas ini bertemu Mesir. Kami mendahului pada separuh masa pertama kemudian kami leka,” kata beliau.

“Kami membenarkan Angola kembali ke dalam perlawanan, jadi kami perbetulkan sesuatu pada rehat. Pada separuh masa kedua kami memberi lebih tekanan, pergerakan lebih baik dan kami mencipta peluang.

“Tshepang (Moremi) cemerlang apabila dimasukkan. Tiba-tiba pasukan kami ada kelajuan, kami jadi berbahaya. Dia memberi ancaman dan melaksanakannya dengan sangat baik pada 45 minit kedua.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top