TEHERAN: Pertahanan udara kedengaran beroperasi di beberapa bahagian Teheran pada pagi Khamis, menurut media kerajaan, manakala letupan turut kedengaran di bahagian utara dan barat negara itu.
“Setakat ini, tiada korban jiwa dilaporkan di Teheran oleh pihak berkuasa rasmi,” lapor agensi berita kerajaan IRNA.
Letupan turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di wilayah Lorestan di barat Iran serta di Semnan di utara negara itu, menurut IRNA dan agensi berita Mehr.
Sebelum itu, sebuah pesawat Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan dan melumpuhkan sebuah kapal tangki minyak yang tidak membawa muatan pada Rabu ketika ia cuba melanggar sekatan laut ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran, menurut tentera AS.
“Pesawat itu melumpuhkan kapal berkenaan selepas melancarkan peluru berpandu Hellfire ke cerobong asap kapal. Kapal itu tidak lagi meneruskan pelayaran ke Iran,” kata Markas Pusat AS (CENTCOM) menerusi hantaran di platform X dan mengenal pasti kapal tangki itu sebagai M/T Belma yang berdaftar di Curacao.
Ini merupakan kali pertama Amerika menghentikan sebuah kapal secara paksa sejak menguatkuasakan semula sekatan ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran pada jam 2000 GMT, Selasa.
CENTCOM turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengalihkan haluan dua kapal komersial yang memberikan kerjasama dalam tempoh 24 jam pertama penguatkuasaan sekatan tersebut.
Sebelum ini, tentera AS menyekat pelabuhan-pelabuhan Iran dari 13 April hingga 18 Jun. Sepanjang tempoh itu, mereka melumpuhkan sembilan kapal dan mengalihkan lebih 140 kapal lain, menurut CENTCOM. – AFP






