Toronto, Kanada: Toronto mencatatkan kualiti udara paling buruk dalam kalangan bandar raya utama dunia pada hari Rabu, menurut firma Switzerland IQAir, ketika pihak berkuasa Kanada menggesa penduduk supaya kekal berada di dalam bangunan.
Toronto mengatasi New Delhi dan Kinshasa, ibu negara Republik Demokratik Congo, apabila asap kebakaran hutan menyebabkan langit di bandar raya terbesar Kanada itu bertukar menjadi kelabu kekuningan yang kabur.
“Penyumbang utama kepada lonjakan pencemaran udara di Toronto ketika ini ialah kebakaran hutan, walaupun suhu yang lebih tinggi daripada purata turut memainkan peranan,” kata Armen Aradian daripada IQAir kepada AFP.
Walaupun musim kebakaran hutan tahun ini agak terkawal berbanding kemusnahan yang berlaku pada tahun-tahun kebelakangan ini, terdapat lebih daripada 800 kebakaran aktif di seluruh negara.
Asap daripada kebakaran di barat laut Ontario telah bergerak ke arah Toronto, ibu kota wilayah tersebut.
Pegawai bandar raya telah menutup kolam renang, membatalkan program kem musim panas dan menutup lokasi rasmi Festival Peminat FIFA menjelang perlawanan separuh akhir antara England dan Argentina pada hari Rabu.
Montreal turut mengalami kesan serupa, walaupun kurang serius, akibat kebakaran hutan pada hari Selasa.
Asap daripada kebakaran hutan itu juga memburukkan kualiti udara di seberang sempadan, iaitu di Amerika Syarikat, dengan Pennsylvania, New York, Connecticut, Massachusetts, Maine dan New Hampshire terjejas teruk.
Penduduk New York diberi amaran oleh pihak berkuasa negeri bahawa mereka “mungkin melihat asap yang ketara dan langit berkabus di seluruh negeri serta lonjakan pencemaran berkaitan asap.”
Penduduk Kanada terpaksa mengharungi keadaan udara yang berpotensi berbahaya ketika gelombang haba yang memecahkan rekod di Amerika Utara terus melanda.
Haba melampau dan kelembapan tinggi dari wilayah Mountain West telah merebak ke kawasan Pantai Timur Amerika Syarikat yang padat penduduk serta ke Ontario.
Cuaca panas di Ontario dijangka reda menjelang hujung minggu, namun pegawai memberi amaran tentang risiko berterusan akibat kebakaran hutan sepanjang baki bulan musim panas.
Setakat ini, kebakaran hutan di Kanada telah memusnahkan 1.9 juta hektar kawasan pada tahun ini, satu keluasan yang hampir menyamai saiz negara Slovenia.
Tahap kemusnahan itu masih jauh lebih rendah berbanding tahun 2023, musim kebakaran hutan paling buruk dalam rekod Kanada apabila hampir 18 juta hektar kawasan terbakar di negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






