June 24, 2024

Serangan balai polis: Jenazah Ahmad Azza Fahmi selamat dikebumikan


TAPAH – Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bharu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor, pada jam 7.20 malam ini.

Kenderaan membawa jenazah Allahyarham dari kediaman ahli keluarganya tiba di tanah perkuburan berkenaan yang terletak kira-kira 900 meter.

Cuaca redup dan suasana pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan sebaik sahaja jenazah tiba dan disambut ahli keluarga dan penduduk setempat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydib Pitchay; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, serta ibu bapa arwah, Azhar Khaiden, 54, dan Nor Haliza Awaludddin, 49.

Terdahulu, jenazah anak keempat dari lapan beradik itu tiba di kediaman ahli keluarga di Kampung Poh dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada jam 5.56 petang.

Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk sekitar turut sama menunaikan solat jenazah secara bergilir-gilir yang dipimpin bapa allahyarham sendiri.

Keranda jenazah Ahmad Azza Fahmi yang dibalut Jalur Gemilang kemudian diiringi melalui istiadat kawalan jenazah ke tanah perkuburan oleh pegawai penghormatan polis.

Pada Jumaat, negara digemparkan dengan serangan berdarah oleh seorang lelaki bertopeng sehingga mengorbankan dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram, pada jam 2.45 pagi.

Anggota polis yang terkorban adalah Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said.

Sementara, Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan dalam insiden serangan sama dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menjalankan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Pada masa sama, polis mengesahkan suspek lelaki berusia 21 tahun ditembak mati dalam kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top