July 27, 2024

Serangan lebih kuat jika Israel bertindak balas – Iran

Serangan lebih kuat jika Israel bertindak balas – Iran


TEHRAN – Sebarang tindakan balas “melulu” terhadap serangan udara yang belum pernah berlaku sebelum ini akan menerima “tindak balas yang lebih kuat”.

Itu amaran Iran kepada Israel.

Lebih 300 dron dan peluru berpandu dilancarkan di Israel oleh Iran dalam tempoh semalaman berikutan serangan 1 April Israel ke atas konsulat Iran di Syria.

Israel mendakwa ia dan sekutu telah memintas 99% senjata yang dihantar oleh Iran.

Serangan itu adalah pertama Iran ke atas Israel, setelah kedua-dua negara melancarkan perang bayangan selama bertahun-tahun.

Susulan serangan itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar “bersama-sama kita akan menang”, tetapi tidak jelas bagaimana negaranya merancang untuk bertindak balas.

Minggu lalu, Menteri Pertahanan dan Luar Israel memberi amaran jika Iran menyerang Israel, ia akan menyerang balik.

Serangan Iran telah dijangkakan selepas serangan ke atas konsulat Damsyik membunuh tujuh pegawai Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

IRGC Iran – cawangan paling berkuasa dalam angkatan tenteranya berkata, ia telah melancarkan serangan itu “sebagai tindakan balas terhadap jenayah berulang rejim zionis, termasuk serangan ke atas konsulat kedutaan Iran di Damsyik.

Berikutan serangan itu, misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata “perkara itu boleh dianggap selesai”.

Ketua Staf Angkatan Tentera Iran Mej Jeneral Mohammad Bagheri memberitahu TV kerajaan, Amerika Syarikat telah diberi amaran melalui Switzerland bahawa sokongannya terhadap tindakan balas Israel akan mengakibatkan pangkalan serantau AS menjadi sasaran.

Presiden AS, Joe Biden menegaskan komitmen Amerika terhadap keselamatan Israel.

Biden yang mengutuk serangan “belum pernah terjadi” ke atas Israel berkata, AS dan sekutu lain telah membantu Israel “menjatuhkan hampir semua” peluru berpandu dan dron.

Siren berbunyi di seluruh Israel dan letupan kuat kedengaran di atas Baitulmaqdis, dengan sistem pertahanan udara menembak jatuh objek di atas bandar itu.

The New York Times, memetik sumber perisikan Israel, melaporkan, sasaran utama nampaknya di pangkalan tentera di Dataran Tinggi Golan yang diduduki.

Jurucakap tentera Israel berkata, kira-kira 360 senjata telah dilepaskan – termasuk 170 dron bahan letupan, 30 peluru berpandu jelajah dan 120 peluru berpandu balistik.

Israel mendakwa serangan itu hanya menyebabkan kerosakan kecil tetapi tiada kemalangan jiwa.

Perkhidmatan ambulans Israel berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun telah cedera terkena serpihan yang jatuh di wilayah selatan Arad dan telah menjalani pembedahan. – Agensi



Source link

OR

Scroll to Top