Serangan sawan punca suami maut ketika mendulang emas

Serangan sawan punca suami maut ketika mendulang emas


am@hmetro.com.my

Gua Musang: Diserang sawan ketika mendulang dipercayai menjadi punca Mohamad Tarmizi Darwish, 35, ditemui lemas di sungai ulu galas, di kawasan Kampung Pulai, di sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman tentang kejadian terbabit oleh isteri mangsa, Nur Shafiqa Hani Mohd Zuki, 30, yang mengatakan suaminya tidak sedarkan diri di dalam sungai.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa berkemungkinan mengalami kekurangan oksigen dipercayai selepas diserang sawan ketika berada di dalam sungai.

“Pemeriksaan turut mendapati keadaan lidah mangsa tergigit yang menjadi antara petunjuk mangsa mungkin mengalami serangan sawan.

“Maklumat daripada keluarga juga mengesahkan mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan dan sering mengalami serangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan secara fizikal terlebih dahulu juga dilakukan ke atas mayat mangsa namun tidak menjumpai sebarang perkara yang meragukan yang boleh dikaitkan dengan kesalahan jenayah.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, mangsa keluar rumah seorang diri dengan memandu sebuah kenderaan jenis perodua Kembara pergi ke sungai terbabit untuk mendulang emas.

“Menurut isterinya, mangsa sudah biasa keluar mendulang emas seorang diri dan kadang kala dia juga ikut bersama mangsa pergi sungai untuk mendulang emas.

“Isteri mangsa juga menyatakan mangsa adalah seorang yang mengidap penyakit sawan. Mangsa kerap rebah secara tiba-tiba akibat daripada penyakit itu.

“Berdasarkan keterangan saksi dan siasatan tempat kejadian, tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan kematian simati dengan perlakuan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang suri rumah tidak menyangka mimpi anak sulungnya melihat ayahnya lemas di sungai menjadi nyata.

Ia selepas suaminya ditemukan terapung di permukaan sungai di ulu galas, di kawasan Kampung Pulai, di sini, selepas keluar mendulang emas petang semalam.

Jenazah Mohamad Tarmizi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kerinting selepas maghrib tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top