lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM6.3 juta kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), tahun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, angka terbabit menunjukkan komitmen kerajaan untuk membina kekuatan ekonomi rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, KESEDAR memainkan peranan besar melahirkan usahawan baharu, membuka peluang ekonomi, membina ekosistem perniagaan serta membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup.
“Sebagai bukti komitmen berterusan ini, kerajaan melalui KKDW menyalurkan peruntukan berjumlah RM6.3 juta kepada KESEDAR pada tahun 2026.
“Ini bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya pelaburan kerajaan untuk membina kekuatan ekonomi rakyat kerana apabila ekonomi luar bandar semakin kukuh, negara akan menjadi lebih stabil, seimbang dan mampan untuk jangka panjang,” katanya pada Majlis Anugerah Ikon Usahawan KESEDAR 2026 di sini, malam ini.
Beliau turut menyeru semua agensi di bawah KKDW termasuk KESEDAR, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) supaya berkongsi kepakaran serta menyelaras sumber bagi memacu usahawan ke pasaran global.
Pada masa sama, beliau berkata, KESEDAR turut merangka beberapa siri Mini Karnival Usahawan Desa (Mini KUD) tahun ini dan bekerjasama dengan MARA membawa usahawan ke Kuala Lumpur bagi menyediakan pasaran kepada produk mereka.
Katanya, sasaran jualan sebanyak RM500,000 dijangka mampu dicapai dan beliau berharap usahawan memanfaatkan platform yang disediakan untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.
Pada majlis berkenaan, sembilan usahawan bimbingan KESEDAR dinobatkan sebagai penerima anugerah pelbagai industri merangkumi makanan dan minuman, perkhidmatan, gaya hidup, automotif, pembinaan, usahawan muda, premis terbaik, inspirasi wanita dan tokoh usahawan KESEDAR.
Pemenang bagi setiap anugerah menerima geran bantuan perniagaan sebanyak RM5,000 seorang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






