Serting Wonderkid A menampilkan aksi bertenaga untuk muncul juara JJC.
PASUKAN Serting Wonderkids A dinobatkan sebagai juara edisi sulung Kejohanan Bola Sepak Jang Junior Challenge (JJC) Pusingan Akhir sekali gus menjulang Piala YTM Tunku Presiden dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Kejohanan peringkat akar umbi itu merupakan hasil penganjuran bersama Kerajaan Negeri Sembilan, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai usaha berterusan mencungkil bakat muda dalam sukan bola sepak di negeri ini.
Sebanyak 20 pasukan terbaik daripada dua siri kejohanan sebelum ini yang berlangsung di Palong dan Jelebu telah melayakkan diri ke pusingan akhir edisi kali ini, menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pemain bawah 12 tahun.
Serting Wonderkids A menampilkan aksi cemerlang apabila berjaya menewaskan Senawang City FC dengan keputusan 2-0 di pentas akhir, sekali gus membawa pulang baucar tunai bernilai RM2,000, piala kejuaraan, pingat dan sijil penyertaan.
Senawang City FC terpaksa akur selaku naib juara dan menerima baucar bernilai RM1,000 bersama pingat dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga disandang oleh Fireball Dream yang membawa pulang baucar RM700, pingat dan sijil.
Rembau Rovers pula menamatkan saingan di tempat keempat dan menerima baucar RM500 beserta pingat serta sijil penyertaan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden PBNS, YTM Kol. (K) Tunku Syed Razman Ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat bola sepak di peringkat akar umbi, malah turut menjadi platform pemilihan pemain bagi mewakili skuad Negeri Sembilan FC bawah 12 tahun (NSFC B-12) pada masa akan datang.