am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seruan di media sosial supaya umat Islam di Selangor memboikot pembayaran zakat dan pelaksanaan wakaf susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, Petaling Jaya disifatkan mengelirukan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin berkata, semua tindakan berkaitan isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kini sedang diuruskan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertanggungjawab mengurus, mengutip dan mengagihkan zakat kepada lapan golongan asnaf di Selangor bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka.
“Sementara, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) pula dipertanggungjawabkan mengurus, membangun dan memajukan harta wakaf supaya dapat dimanfaatkan secara berterusan demi kepentingan umat Islam.
“Justeru, seruan sebegini bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh menjejaskan hak golongan asnaf untuk menerima bantuan hasil kutipan zakat, selain merencatkan usaha membangunkan serta memajukan harta wakaf di Selangor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan ke atas tapak masjid, surau dan institusi agama Islam di negeri ini.
Katanya, jika tanah yang terbabit tanah yang diwartakan bagi maksud awam tujuan agama Islam, MAIS akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya diambil.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi, tuduhan, fitnah atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu berkenaan, sebaliknya mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





