Usahawan selebriti, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-41 pada 14 Mac lalu dengan penuh rasa syukur, sambil berkongsi refleksi kehidupan yang kini lebih tertumpu kepada keluarga dan masa depan anak-anak.
Menurut Shahida, pada usia sekarang, keutamaan dalam hidupnya bukan lagi soal pencapaian material semata-mata, sebaliknya lebih kepada membesarkan anak-anak dengan didikan yang baik.
“Bila saya berada di usia ini, saya sudah mempunyai anak yang ramai. Dari segi perniagaan, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Alhamdulillah, nak kata bagus sangat itu tidak, tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang,” katanya.
Tambahnya, impian terbesar sebagai seorang ibu adalah untuk melihat anak-anak membesar menjadi individu yang berakhlak baik dan mendengar nasihat.
“Harapan saya supaya anak-anak menjadi insan yang baik. Saya sangat berharap anak sulung saya dapat menjadi pemimpin yang hebat kerana dia mempunyai ramai adik untuk dibimbing,” katanya.
Dalam masa sama, Shahida turut berkongsi doa yang sentiasa dititipkan setiap kali menunaikan solat, demi kesejahteraan zuriatnya.
“Setiap kali solat, saya akan berdoa agar keturunan saya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, bukan sahaja untuk anak-anak saya, tetapi berterusan hingga ke cucu dan cicit,” katanya.
Berkongsi mengenai perancangan masa depan, Shahida mengakui pendekatan dirinya dalam perniagaan agak berbeza berbanding suaminya, usahawan popular Datuk Seri Aliff Syukri.
Menurutnya, Aliff merupakan seorang yang berwawasan besar dan sentiasa mempunyai cita-cita tinggi dalam mengembangkan perniagaan.
“Saya dan suami memang berbeza. Dia seorang yang sangat berimpian besar, manakala saya lebih kepada bersyukur dengan apa yang ada,” katanya.
Bagaimanapun, Shahida turut menyokong impian suaminya untuk membuka sebuah pusat membeli-belah yang menawarkan barangan berkualiti pada harga mampu milik.
“Suami saya ada impian untuk membuka sebuah mall. Kami berharap ia dapat direalisasikan satu hari nanti, supaya kami dapat menyediakan produk berkualiti dengan harga yang berpatutan untuk semua,” katanya.
Aliff dan Shahida mendirikan rumah tangga pada 2007 dab mempunyai enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.




