firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Sungai Putat FC (Sg Putat FC) mencipta sensasi apabila muncul juara sulung Liga Super Komuniti A3 Melaka selepas mudah menundukkan SBC FC 2-0 dalam aksi final yang berlangsung rancak di Stadium Hang Jebat, di Melaka, petang tadi.
Dua gol masing-masing menerusi M Azmil Azran Rahman dan Mohammad Imran Samso sudah cukup untuk mengecewakan lawan yang sebelum itu menang ke atas Sg Putat FC dalam saingan liga.
Begitupun Sg Putat FC tampak lebih bersedia di perlawanan akhir apabila tidak memberi peluang buat lawan mencetak sebarang gol dalam aksi kemuncak itu.
Melengkapkan hari penuh gemilang buat Sg Putat FC, Mohammad Imran dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir, diikuti Azmil Azran sebagai Pemain Paling Bernilai manakala Muhammad Aiman Shah dipilih Penjaga Gol Terbaik.
Hadiah kemenangan disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri; Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka (Baru), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi Super Football League, Muhd Razali Omar Othman dan barisan tetamu kehormat lain.
Sementara itu, Serkam United pula menamatkan saingan di tempat ketiga mengatasi Desa Baru FC yang berada di tempat keempat. Untuk rekod, dua pasukan yang berjaya lolos ke final layak secara automatik ke saingan Liga A2 Amatur musim depan.
Liga Super Komuniti A3 Melaka Siri Dua dijangka bakal diadakan dalam tempoh terdekat dengan lebih 10 pasukan difahamkan sudah mendaftar untuk menyertai kejohanan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd