Pelakon Sharifah Aryana atau lebih mesra disapa Yana Alyahya berkongsi berita gembira apabila memaklumkan dia kini telahpun mengenakan hijab sebagai langkah perubahan yang lebih baik dalam hidupnya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Yana memaklumkan, pada awalnya dia tidak bercadang untuk berkongsi mengenai perkara itu secara terbuka kepada umum.
Bagaimanapun, dia mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri.
“Niat saya betul-betul nak berubah dengan lebih baik. I actually did not want to do this, by this.. i mean macam address the fact that saya nak cuba pakai tudung.
“Just want to say that, i used the word ‘try’ sebab ada orang tanya saya, ‘Ini untuk Ramadan ke? or for good? dan secara jujurnya saya pun tak tahu. Saya rasa like i have always known that saya akan pakai tudung satu hari nanti tapi bila tu saya sendiri tak tahu,” kongsinya.
Katanya lagi, perubahan yang dirasai dalam dirinya itu mula hadir selepas menginjak usia 30-an selain melalui beberapa fasa penting dalam kehidupan.
Malah, pengalaman melahirkan anaknya, Amin, serta pelbagai perkara yang dilalui dalam hidup turut memberi kesan besar sehingga mendorongnya untuk menjadi insan yang lebih baik.
“I turn 30 last year, dan ada sesetengah momen yang berlaku that led me to this day. I felt like, when i turn 30.. saya dapat rasa tenang yang luar biasa.
“Selepas melahirkan Amin dan melalui banyak perkara dalam hidup, saya benar-benar mahu mencuba untuk menjadi lebih baik,” jelasnya.

Bagaimanapun, Yana berkata dia tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya sendiri kerana mahu melakukan perubahan itu dengan penuh keikhlasan dan berkekalan.
“Selain berharap orang ramai dapat memberi ruang kepadanya untuk melalui proses perubahan tersebut dengan tenang.
“Saya juga tidak mahu memberi tekanan pada diri sendiri sebab jika saya mahu melakukannya, saya mahu lakukan dengan baik dan berkekalan.
“Saya tidak mahu over promise and then macam tak jadi ke apa… Jadi saya mohon semua bersabar dengan saya dan kalau boleh jangan marah atau mengecam saya.
“Saya hanya manusia biasa yang sedang mencuba sebaik mungkin. Tidak kira apa yang pernah berlaku pada masa lalu kita, atau bagaimana diri kita sebelum ini, jika kita rasa ada nak berubah, cubalah,” ujarnya.






