Shevon tampil perjelas kontroversi kad merah di Terbuka Indonesia

Shevon tampil perjelas kontroversi kad merah di Terbuka Indonesia

Shevon tampil perjelas kontroversi kad merah di Terbuka Indonesia


GANDINGAN beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai tampil memperjelaskan situasi sebenar berhubung layangan kad kuning dan merah yang mencetuskan kontroversi ketika aksi suku akhir kejohanan Terbuka Indonesia pada Jumaat.

Impian gandingan negara untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan itu berkecai selepas tewas kepada pilihan keempat dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue dalam aksi sengit tiga set.

Kekalahan itu turut dibayangi dengan keputusan kontroversi pengadil yang melayangkan kad merah kepada Soon Huat pada set penentuan ketika kedudukan terikat 20-20 di Istora Senayan, Jakarta atas dakwaan melengahkan permainan.

Layangan kad tersebut sekali gus memberikan mata percuma 21-20 kepada gandingan Perancis itu sebelum mereka memanfaatkan situasi berkenaan untuk menoktahkan kemenangan 22-20.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Shevon memperincikan dua insiden layangan kad berkenaan bagi menjawab pertanyaan orang ramai mengenai apa yang sebenarnya berlaku di atas gelanggang.

“Bagi kad kuning pertama, Soon Huat sedang mencari ‘grip powder’ kerana pemegang raketnya licin. Pengadil memanggilnya kembali ke gelanggang, namun sesiapa yang pernah beraksi atau melatih di Istora tahu betapa bisingnya sorakan penyokong di sana.

“Dia memang tidak mendengar panggilan pengadil dan sebaik sahaja kembali ke gelanggang, dia terus diberikan kad kuning,” jelasnya.

Mengulas mengenai layangan kad merah yang membawa padah pada kedudukan 20-20, Shevon berkata Soon Huat hanya berpaling seketika untuk memberikan kata-kata semangat kepadanya sementara menunggu pihak lawan bersiap sedia.

“Ketika pihak lawan mengambil masa untuk bersedia bagi servis seterusnya seperti yang mereka lakukan sepanjang perlawanan Soon Huat berpaling seketika kepada saya dan meminta saya untuk terus berjuang.

“Apabila dia kembali ke posisinya dan sudah bersedia sebelum mata seterusnya bermula, dia secara tiba-tiba dilayangkan kad merah,” katanya.

Shevon turut mempersoalkan konsistensi pengadil memandangkan gandingan lawan kerap melengahkan permainan dan menunjukkan reaksi tidak puas hati sepanjang perlawanan, namun hanya diberikan amaran lisan serta satu kad kuning pada set ketiga.

Tegasnya, mereka tidak menentang peraturan baharu yang cuba diperkenalkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) namun pelaksanaannya perlulah dibuat secara adil dan saksama.

“Jika sesuatu peraturan itu masih dalam fasa percubaan, tindakan hukuman yang ketat tidak sepatutnya dikuatkuasakan sehingga menjejaskan perlawanan sebelum ia diwartakan sepenuhnya.

“Selain itu, memberikan kuasa mutlak yang terlalu besar kepada pengadil tanpa sebarang mekanisme untuk pemain mencabar keputusan di atas gelanggang mewujudkan situasi yang tidak adil. Pemain terpaksa berdepan tekanan psikologi selain perlu bertarung dengan pihak lawan.

“Kami menghormati pegawai perlawanan dan sukan ini, tetapi kami juga percaya perlu ada ruang untuk keadilan, konsistensi dan akauntabiliti dalam melaksanakan peraturan baharu,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top